Header AD

Masuk Semak Pun Tak Dapat Lari

Klang: Tujuh lelaki ditahan polis selepas terbabit dengan aktiviti judi laga ayam di tapak pembinaan di Jalan Kebun, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, kawasan projek perumahan itu dijadikan ‘port’ menyabung ayam sejak sebulan lalu termasuk membabitkan warga asing.
Namun, ia gagal mengaburi pihak berkuasa apabila diserbu Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan diketuai Asisten Superintendan Akmalrizal Radzi, kira-kira jam 4.30 petang.
Selain tujuh lelaki berusia 30 hingga 65 tahun itu, serbuan yang dibantu Bahagian Jenayah Berat (D9) IPD dan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut merampas beberapa peralatan judi, lapan ayam sabung dan wang tunai RM5,400.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan pemantauan pihaknya sejak beberapa minggu lalu.
“Sebaik menyedari kehadiran polis, suspek melarikan diri ke kawasan semak, tetapi berjaya dicekup,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada suspek yang ditahan adalah warga Indonesia manakala empat lagi warga tempatan.
“Dua daripada warga asing itu tidak mempunyai perjalanan sah dan visa tamat tempoh. Semua dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Alzafny berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 44 (1) Akta Binatang 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Masuk Semak Pun Tak Dapat Lari Masuk Semak Pun Tak Dapat Lari Reviewed by Adslah Admin on 7:43:00 AM Rating: 5

Post AD