Header AD

Bongkah Batu Besar Runtuh Dan Merempuh Dinding Bilik Tidurnya

Bongkah Batu Besar

St George (Utah): Seorang wanita warga emas nyaris maut apabila bongkah batu besar runtuh dan merempuh dinding bilik tidurnya, malam semalam.

Ketika kejadian, Wanda Lee Denhalter, 63, sedang tidur dan tidak sempat melakukan apa-apa untuk mengelak, tetapi dia masih bernasib baik kerana cuma tersepit di antara batu dan dinding rumahnya.

Menurut Wanda, batu sebesar empat meter dan setinggi tiga meter itu merempuh rumahnya kira-kira jam 3 pagi. Dia mengalami patah rahang, tulang dada dan luka besar pada kakinya.

Wanda juga bernasib baik kerana dalam keadaan tersepit itu, dia masih dapat mencapai telefon di rumahnya dan menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi mendapatkan bantuan. Jurucakap polis St George berkata, Wanda dikejarkan ke Pusat Perubatan Wilayah Dixie dan menjalani pembedahan hampir empat jam bagi merawat pelbagai kecederaannya. Sementara itu, suami Wanda, Scot Denhalter, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian.

“Menurut Wanda, dia terdengar bunyi yang kuat sejurus sebelum batu besar itu melanggar rumah kami,” katanya. Bimbang dengan bunyi itu, kata Denhalter, Wanda beralih ke sebelah katil dan berdiam diri di situ.

Katanya, jika Wanda bangkit dan melihat apa yang berlaku, isterinya itu mungkin terbunuh. “Batu itu menyebabkan katil dan pelbagai perabot lain tercampak lebih satu meter,” katanya.

Bahagian luar rumah musnah dirempuh

Dalam keadaan terdesak itu, kata Denhalter, Wanda berjaya bangkit dan menghubungi talian kecemasan 911. Sehingga semalam, belum diketahui punca batu itu runtuh, tetapi Denhalter menjangkakan, paip air yang pecah di pinggir tanah tinggi berhampiran rumahnya mungkin ada kaitan dengan insiden itu. Pasangan itu baru berpindah ke rumah berkenaan Disember lalu.

Ketika itu, kata Denhalter, dia menyatakan kebimbangannya terhadap bungkah batu yang ada di lereng berhampiran rumah mereka.

“Tetapi Wanda meyakinkan saya, batu itu tidak akan runtuh,” katanya.

Sumber
Bongkah Batu Besar Runtuh Dan Merempuh Dinding Bilik Tidurnya Bongkah Batu Besar Runtuh Dan Merempuh Dinding Bilik Tidurnya Reviewed by Adslah Admin on 8:23:00 AM Rating: 5

Post AD