Header AD

Wanita Bekerja Tak Boleh Abai Tugas Sebagai Isteri, Ibu


Islam tidak melarang wanita menyumbang dalam kewangan keluarga. - Gambar hiasan

Fahaman konservatif mempersoalkan kedudukan wanita sebagai pekerja. Wanita dianggap hanya sesuai menjalankan tugas sebagai isteri. Menyedihkan apabila larangan itu dikaitkan dengan alasan bahawa Islam menghalang wanita bekerja dan terbabit aktiviti kemasyarakatan. 

Sesungguhnya Allah SWT tidak menyekat kebebasan hamba-Nya daripada melakukan kebaikan untuk diri sendiri dan keluarga. Allah SWT menyuruh melakukan kebaikan tanpa mengkhususkan kepada lelaki atau wanita. 

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, mereka akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiayai (atau dikurangkan balasannya) sedikit pun.” (Surah an-Nisa, ayat 124) 

Sistem pendidikan sama rata membuka peluang kepada wanita memperoleh pendidikan dan kemahiran dalam pelbagai bidang. Kelulusan dimiliki membuka peluang wanita menyertai pelbagai sektor pekerjaan. 

Banyak sektor pekerjaan tidak membezakan antara pekerja lelaki dan wanita. Keupayaan bekerja lebih menumpukan kepada kemahiran berbanding kekuatan fizikal, membolehkan wanita melaksanakan tugas dengan sempurna. 

Realitinya, banyak wanita berjaya membuktikan kemampuan dalam pelbagai tugas dan kerjaya seperti lelaki. Wanita kini dilantik mengetuai jabatan, organisasi dan sebagainya. 

Wanita berkahwin perlu mendapat kebenaran daripada suami untuk bekerja. Jika wanita itu sudah bekerja sebelum berkahwin dan suami mengetahui perkara itu serta tidak menghalangnya, maka boleh dianggap suami telah mengizinkan untuk terus bekerja. 
Tugas mencari rezeki menjadi tanggungjawab suami. Sebab itu suami dilebihkan kedudukan berbanding isteri. Suami juga sebagai pemimpin. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34) 

Namun, Islam tidak melarang isteri turut menyumbang dalam kewangan keluarga. Isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah adalah seorang peniaga berjaya. Siti Khadijah menyumbangkan kekayaannya untuk mengembangkan Islam. 

Pola sosial ekonomi sekarang menuntut wanita terbabit dalam ekonomi rumah tangga. Banyak keluarga menghadapi masalah kewangan jika isteri tidak membantu suami dalam soal mencari rezeki. 

Kini, bilangan wanita bekerja semakin banyak. Perubahan positif ini disebabkan kesedaran wanita pentingnya mereka turut menyumbangkan tenaga, kemahiran dan fikiran untuk kebaikan diri, keluarga dan negara. 

Namun wanita bekerja tidak boleh melupakan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu. Kerja tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Isteri juga ada tanggungjawab dalam keluarga. 

Wanita bekerja mesti bijak mengatur tugas sebagai isteri, ibu dan kerjaya. Suami perlu menghargai kesediaan isteri menanggung sebahagian keperluan kewangan yang menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya. Tolak ansur dalam rumah tangga menjamin kebahagiaan berkekalan.

Sumber - Berita harian
Wanita Bekerja Tak Boleh Abai Tugas Sebagai Isteri, Ibu Wanita Bekerja Tak Boleh Abai Tugas Sebagai Isteri, Ibu Reviewed by Adslah Admin on 7:44:00 AM Rating: 5

Post AD