Header AD

Tragedi Main Air


SERIUS...Md Affendi (baju biru berdiri) menceritakan kejadian kepada ayah mangsa, Anuar (duduk dua dari kanan).

KUALA KEDAH: “Selepas terjun, saya sempat capai seorang saja anak saudara, tapi sedih tak dapat selamatkan dua lagi kerana arus deras,” kata Md Affendi Ismail, 27, bapa saudara kepada dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot gentian kaca dinaiki mereka di muara Sungai Kuala Kedah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dua kanak-kanak iaitu Mohd Hafiz Anuar, 4, dan abangnya, Mohd Nashrik, 9, hilang selepas tercampak dari bot dinaiki mereka manakala pasangan kembar, Mohd Nashrik iaitu Mohd Ashraf, 9, sempat diselamatkan Md Affendi.

Md Affendi berkata, selepas menyelamatkan Mohd Ashraf, dia berenang sejauh 50 meter dari tempat kejadian sebelum diselamatkan rakan yang menaiki bot lain.

“Sebelum kejadian, mereka mendesak saya untuk bawa mereka bersiar-siar menaiki bot dan menunggu kepulangan saya dari laut sejak jam 8 pagi,” katanya.

Menurutnya, dia membawa tiga anak saudaranya bersiar-siar di sekitar muara berkenaan sebelum berpatah balik selepas perjalanan sejauh 500 meter berhampiran Jambatan Tok Pasai, di sini.

Md Affendi yang juga nelayan berkata, dia tidak menyangka berlaku tragedi kerana ini kali pertama dia membawa tiga bersaudara berkenaan kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendesak sehingga sanggup menunggu di rumahnya di Taman Nelayan, di sini.

“Selain membawa mereka bersiar di muara, pasangan kembar itu mendesak saya membawa mereka lebih jauh kerana memaklumkan tidak puas menaiki bot bersama.

“Sejurus sebelum kejadian, saya melihat dua anak saudara bermain air dengan meletakkan tangan dalam laut di bahagian hadapan bot, namun tidak menyangka tindakan itu mengakibatkan bot hilang keseimbangan ketika saya cuba membelok. “Akibatnya, mereka tercampak dalam laut menyebabkan saya terjun untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Md Affendi berkata, sebelum ini, mereka mendesaknya supaya membawa bersiar-siar menaiki bot di kawasan muara sungai, namun dia tidak mengendahkan kata-kata anak saudaranya itu dan mereka pulang ke rumah masing-masing tanpa menunggunya.

Katanya, dia tidak menyangka tindakannya menunaikan desakan pasangan kembar terbabit bertukar insiden memilukan memandangkan sebelum ini dia sering membawa Mohd Hafiz ke laut.

“Namun, hari ini (semalam) mereka benar-benar mendesak saya supaya membawa turun ke laut. Selalunya, mereka akan pulang jika saya tidak mengendahkan desakan mereka, tetapi kejadian hari ini (semalam) sebaliknya.

“Mereka sanggup mengejutkan saya daripada tidur, petang tadi (semalam) bagi menunaikan permintaan itu, namun perkara tidak diingini pula berlaku,” katanya.

Bapa dua beradik terbabit, Anuar Ismail, 31, terpaksa ditenangkan ahli keluarga selepas sukar menerima hakikat dan menyalahkan Md Affendi di atas apa yang berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Mohd Izham Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk kampung pada jam 5.07 petang sebelum melaksanakan gerakan mencari dan menyelamat serta-merta.

“Setakat ini, kami melakukan operasi mencari di permukaan air saja sementara menunggu Unit Skuba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani. Operasi mencari dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di samping beberapa bot nelayan,” katanya.

Menurutnya, setakat jam 8 malam tadi, kedua-dua mangsa masih gagal dikesan.
Tragedi Main Air Tragedi Main Air Reviewed by Adslah Admin on 6:53:00 AM Rating: 5

Post AD