Header AD

Tisu Sistem Saraf Membentuk Barah


AMBIL BERAT... sambil melayan kerenah kanak-kanak, guna peluang itu bagi 
meneliti sebarang perubahan pada gerak-geri dan tubuh mereka.

TAWA dan keletah mereka sungguh menghiburkan. Perasaan itu lumrah bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Namun, jangan mudah dibuai keseronokan kerana usia mentah seperti itu memerlukan pengawasan dan penelitian rapi.

Perhatikan gerak-geri dan perubahan pada mereka dengan teliti. Sekali lihat, mereka nampak sihat tetapi jika diperhatikan betul-betul, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Ini yang paling dibimbangi ibu bapa ketika anak berusia bawah dua tahun.

Jika anak anda mempunyai simptom seperti lesu, berat badan berkurangan, bengkak pada leher serta lemah anggota kaki, segera bawa mereka berjumpa doktor kerana dikhuatiri ia tanda awal penyakit kanser saraf atau neuroblastoma.

Neuroblastoma adalah kanser pada tisu saraf di dalam badan. Ia adalah kanser kanak-kanak dalam lingkungan usia dua tahun ke bawah.

Kira-kira 50 peratus kanser ini cepat merebak dan jika tidak dirawat, ia mampu meragut nyawa.

Perunding Pakar Bedah Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Zuraidah Ibrahim, berkata hingga kini punca sebenar neuroblastoma tidak diketahui.
“Pakar perubatan masih tidak dapat mengetahui punca sebenar, oleh itu cara mencegah atau mengelak juga tidak ditemui.

“Gangguan itu biasa berlaku kepada kira-kira 4.6 peratus daripada sejuta kanak-kanak di Malaysia dan tiada kecenderungan pada kanak-kanak lelaki atau perempuan,” katanya.

Kanser saraf boleh berlaku di beberapa bahagian badan. Ia terbentuk daripada tisu yang membentuk sistem saraf iaitu sebahagian daripada sistem saraf yang mengawal fungsi badan seperti denyutan jantung dan tekanan darah, penghadaman dan tahap hormon tertentu.

Barah ini boleh berlaku pada kelenjar adrenal di perut. Kelenjar ini kedudukannya di atas ginjal dan fungsinya adalah mengawal tekanan darah dan tekanan individu.

Selain itu, ia boleh merebak ke tisu saraf dalam dada, saraf tunjang, leher, tulang muka, tengkorak, pinggul, bahu, lengan, kaki, tulang sumsum, hati, kelenjar limfa, kulit dan di sekeliling mata.

Menurut Zuraidah, pada peringkat awal, adalah sukar mengenal pasti tanda bahawa kanak-kanak diserang barah ini.

Katanya, kanak-kanak terbabit mungkin mengalami simptom lesu, kurang makan atau demam dan ia juga bergantung pada bahagian yang terkena barah.

“Pemeriksaan doktor harus dilakukan jika ada gejala seperti di atas. Neuroblastoma dapat dikesan melalui ujian darah, air kencing dan radiologi seperti Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) dan ujian imbasan (MRI).

“Jika ada bengkak di bahagian seperti leher, perut dan dada, ia harus diambil sedikit isinya, iaitu ‘biopsy’ di mana ia akan diperiksa pada bawah mikroskop untuk mengenal pasti nueroblastoma menerusi sel yang dilihat,” katanya.

Menurutnya, selepas dikenal pasti ia neuroblastoma, doktor akan mengkelaskan penyakit ini sama ada di peringkat awal atau sebaliknya.

“Ini penting untuk panduan rawatan neuroblastoma. Jika masih peringkat awal, ia boleh dirawat melalui pembedahan tetapi jika peringkat akhir, harus dirawat dengan kaedah kemoterapi atau radioterapi dulu sebelum dibedah,” katanya.

Neuroblastoma membabitkan enam hingga 10 peratus kanser kanak-kanak dan 15 peratus daripada kes berkenaan membawa kepada kematian.

Sejarah

Ia ditemui doktor berasal dari Jerman bernama Rudolf Virchow yang menerangkan satu tumor pada kanak-kanak dikenali sebagai glioma pada 1846.

Gejala
  • Demam
  • Hilang selera makan
  • Susut berat badan
  • Sakit sendi

Gejala lain
  • Sakit tulang (jika kanser merebak ke tulang)
  • Kesukaran bernafas atau batuk kronik (jika kanser merebak ke dada)
  • Abdomen diperbesarkan (daripada tumor yang besar atau cecair berlebihan)
  • Kulit kemerah-merahan
  • Pucat dan kulit warna kebiruan di sekeliling mata
  • Berpeluh yang berlebihan

Masalah otak dan sistem saraf mungkin termasuk:
  • Ketidakupayaan untuk mengosongkan pundi kencing
  • Lumpuh kaki
  • Pergerakan mata yang tidak terkawal atau pergerakan kaki tidak normal dipanggil sindrom opsoclonus-myoconus

Rawatan

Setiap rawatan berbeza bergantung kepada tahap neuroblastoma seperti:
  • Lokasi kanser
  • Berapa banyak dan di mana ia merebak
  • Umur pesakit

Dalam kes tertentu, pembedahan sudah memadai. Bagaimanapun, lazimnya terapi lain turut diperlukan. Ubat anti kanser (kemoterapi) boleh disyorkan jika tumor merebak selain terapi radiasi juga boleh digunakan.

Kemoterapi berdos tinggi dan pemindahan sel stem autologous masih dikaji untuk digunakan di kalangan kanak-kanak dengan tumor yang sangat berisiko tinggi.
Tisu Sistem Saraf Membentuk Barah Tisu Sistem Saraf Membentuk Barah Reviewed by Adslah Admin on 7:26:00 AM Rating: 5

Post AD