Header AD

Rumah Diterbangkan Ribut

ROSAK...Mohd Nizam menunjukkan bumbung rumahnya diterbangkan ribut.

SUNGAI BESAR: “Saya dan keluarga dikejutkan dengan dua bunyi kuat seperti kayu patah berserta angin kencang sebelum sebahagian bumbung rumah diterbangkan.

“Kami sekeluarga hanya berdoa dan berpegang sambil menangis kerana bimbang ribut memusnahkan rumah dan kami bakal hilang tempat tinggal,” kata Mohd Nizam Abd Karim, 30, mengenai kejadian ribut di Kampung Parit 11 Timur, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 7.15 petang itu, 10 rumah di kampung Parit 11 Timur dan sebuah di Kampung Parit 10 mengalami kerosakan terutama pada bumbung.

Katanya, akibat kejadian itu, Mohd Nizam menanggung kerugian RM10,000 selepas perabot dan peralatan elektrik rumahnya rosak terkena hujan.

Kini, dia bersama isteri, Radziah Md Zakaria, 32, yang sarat mengandung bersama anak mereka, Aidi Yusof, 2, Aidil Mahadi, 5, Aidil Hafiz, 8, menumpang di rumah bapa saudara mereka, Asmawi Nordin, 58, yang terletak berhampiran.

“Walaupun kejadian yang berlaku merosakkan sebahagian besar bumbung rumah, perabot, peralatan elektrik, namun saya bersyukur kerana tidak cedera tambahan pula isteri sarat mengandung,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi mangsa, Rosli Anuar, 39, berkata, akibat kejadian itu, dia kehilangan tempat tinggal dan mengalami kerugian besar berikutan struktur bumbung dan dinding rumahnya rosak teruk.

“Namun saya bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu walaupun hampir keseluruhan bumbung rumah diterbangkan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Muslimin Yahaya dalam lawatannya ke tempat kejadian berkata, dalam kejadian ribut itu, tujuh rumah di Kampung Parit 11 Timur dan sebuah rumah di Parit 10 mengalami kerosakan.

“Tiga rumah didapati mengalami kerosakan hampir keseluruhannya dan kerugian dianggarkan lebih RM10,000 setiap satu,” katanya.
Rumah Diterbangkan Ribut Rumah Diterbangkan Ribut Reviewed by Adslah Admin on 7:11:00 AM Rating: 5

Post AD