Header AD

Rejim Bashar Sukar Tewaskan Pemberontak



PEJUANG bebas tentera Syria daripada batalion Al-Farooq membuang poster Presiden Bashar Al-Assad di sebuah hospital tentera selepas mereka mendakwa sudah mengalahkan tentera kerajaan di Halfaya, berhampiran Hama. - Foto Reuters

Naib Presiden Syria gesa rundingan damai

BEIRUT: Naib Presiden Syria mengaku tentera tidak dapat mengalahkan pejuang pembebasan yang cuba menjatuhkan rejim dan menggesa penyelesaian secara rundingan diadakan untuk menyelamatkan negara itu daripada kemusnahan.

Kenyataan spontan dan jarang dibuat oleh Farouk al-Sharaa, pembantu kanan keluarga Presiden Bashar al-Assad, berkata rejimnya mungkin mempertimbangkan strategi lain ketika pejuang semakin menghampiri Damsyik. Beliau bercakap ketika temubual yang disiarkan oleh akhbar Lubnan, Al-Akhbar, kelmarin. 

“Saya tidak melihat apa yang dilakukan pasukan keselamatan dan unit tentera akan membawa kepada kemenangan mutlak. Pasukan pembangkang cuma boleh menggunakan pertempuran cara untuk menjatuhkan rejim jika matlamat mereka menolak negara ke arah kekacauan dan kitaran keganasan yang tiada akhir,” al-Shaara dipetik sebagai berkata dalam temubual yang diadakan di Damsyik. 

Kerajaan perpaduan

Al-Shaara menggesa supaya penyelesaian politik secara rundingan termasuk pembentukan kerajaan perpaduan dengan bidang kuasa luas.

“Di sebalik retoriknya, Assad kini mungkin mempertimbangkan strategi jalan keluar yang membolehkan beliau mendapatkan perlindungan di luar negara dengan lehernya masih kekal pada tubuh,” kata penganalisis di syarikat analisis risiko Britain, Anthony Skinner.

Di Washington, jurucakap Jabatan Negara Amerika, Victoria Nuland, berkata kenyataan al-Shaara ‘bercakap mengenai tekanan yang dialami rejim Syria.’ 
“Bagaimanapun, amat dikesali ia tidak mengubah tindak tanduk rejim termasuk kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat sendiri,” katanya.

Al-Sharaa, 73, yang setia kepada keluarga Assad, menjadi tokoh kontroversi sejak permulaan kebangkitan rakyat.

Beliau tampil di khalayak ramai lewat Ogos lalu buat kali pertama dalam tempoh beberapa minggu, mematikan khabar angin beliau berpaling tadah. Ramai tokoh penting rejim berpaling tadah sejak beberapa bulan lalu walaupun puak yang rapat dengan Assad dan tentera kekal setia di belakangnya. - AP
Rejim Bashar Sukar Tewaskan Pemberontak Rejim Bashar Sukar Tewaskan Pemberontak Reviewed by Adslah Admin on 7:15:00 AM Rating: 5

Post AD