Header AD

Jurassic Park 3D Temui Penonton Tahun Depan

Jurassic Park 3D


Ketika asyik melayari internet untuk melihat senarai filem besar Hollywood yang akan ditayangkan sepanjang tahun depan, tiba-tiba mata saya tertangkap pada sebuah judul yang sememangnya menjadi kegemaran saya dari dulu sampai sekarang. Hati saya cukup berbunga apabila dalam senarai yang cukup panjang berkenaan, turut menemui penonton ialah Jurassic Park. Filem hebat ini akan kembali menggegarkan pawagam pada April 2013. 

Filem ini bagaikan sebuah fenomena ketika ia mula ditayangkan kepada umum pada Jun 1993. Ketika itu, belum banyak judul yang menggunakan kepakaran imejan janaan komputer (CGI). Begitu juga penggunaan teknologi animatronik yang semakin maju. Apatah lagi apabila pengarahnya, Steven Spielberg, mengetengahkan tema campur tangan manusia dalam kejadian alam semula jadi. Apabila manusia cuba menjadi Tuhan, bencana tidak dapat dielakkan. Kisah haiwan purba yang sudah pupus selama 65 juta tahun, kembali dihidupkan oleh saintis di sebuah pulau, sudah tentu ia umpan terbaik untuk menarik penonton ke panggung pada dekad berkenaan. 

Jurassic Park berjaya mencatatkan pungutan kira-kira RM2.8 bilion dari seluruh dunia apabila ia menamatkan tayangan beberapa bulan kemudian, seterusnya muncul judul paling popular di Amerika Syarikat pada tahun berkenaan. Ia juga menduduki tempat ke-24 dalam senarai filem pecah panggung dunia, sehingga ke hari ini. Apabila kejayaan sebegitu besar dicatat menerusi filem sulung, pastinya pihak penerbit inginkan laba yang lebih lagi. Justeru, terhasillah filem susulannya iaitu Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III (2001). Khabarnya filem keempat dalam francais dinosaur ini sedang dalam perancangan penerbitan. 

Masih saya ingat pengalaman menonton filem lakonan Sam Neill sebagai Dr Alan Grant, Laura Dern (Dr Ellie Sattler), Jeff Goldblum (Dr Ian Malcolm), Richard Attenborough (John Hammond), Ariana Richards (Lex Murphy) dan Samuel L Jackson (Ray Arnold) ini, 19 tahun lalu. Ketika itu, filem ini muncul sebagai perintis dalam sistem bunyi canggih, DTS. Saat itu juga pawagam negara ini turut mula mempertingkatkan sistem bunyi mereka. Lalu, sebuah pengalaman hebat dapat dirasakan penggemar filem pada dekad terbabit, bermula dengan Jurassic Park. Dengan sistem bunyi yang canggih, ngauman haiwan purba didengar dengan lebih jelas serta menakutkan. 

Usaha Spielberg membawa aspek bunyi filem ke tahap lebih tinggi nampaknya berbaloi apabila judul terbabit menerima tiga trofi pada Anugerah Academy ke-66. Ia mendapat pengiktirafan dalam kategori teknikal, iaitu Suntingan Bunyi Terbaik dan Adunan Bunyi Terbaik. Filem ini juga mengungguli kategori Kesan Visual Terbaik, hasil kecanggihan teknologi yang digunakan oleh pasukan Spielberg. Maklum saja, bagi mendapatkan naskhah yang kini boleh dianggap klasik, filem berkenaan menelan belanja sekitar RM190 juta untuk disiapkan. 

Bukan sekadar aspek teknikal saja yang membuatkan karya Spielberg ini antara judul paling menghiburkan, malah elemen kejutan yang disokong penceritaan kuat turut menjadikannya antara filem kesukaan ramai sampailah sekarang. Babak T-Rex menyerang kereta dinaiki Alan, Ellie serta dua kanak-kanak dalam suasana hujan di kawasan berbecak kukuh melekat di ingatan. Saat itu, nafas penonton turut terhenti apabila watak Lex yang baru saja melepaskan diri daripada kereta yang diterbalikkan dinosaur ganas itu tiba-tiba berdepan makhluk sepanjang 12 meter, dan beratnya mencecah hampir 7 metrik tan berkenaan. 

Babak Velociraptor memburu kumpulan yang terselamat di dalam kompleks pengurusan taman tema haiwan purba itu juga amat mendebarkan, terutama apabila kaki seorang kanak-kanak terbabit terjuntai dari siling manakala sang dinosaur pula siap hendak menerkam dari bawah. Ketika itu, usah malu andai kaki anda turut terangkat sama. 

Cuma pada tahun depan, filem ini akan lebih berganda debarannya apabila ia ditayangkan dalam format tiga dimensi (3D). Jurassic Park antara judul besar yang akan kembali menemui penonton dalam format berkenaan, selepas kejayaan beberapa filem lain seperti Toy Story dan Toy Story 2, The Lion King, Beauty and the Beast, Star Wars Episode 1: The Phantom Menace, Titanic dan Finding Nemo.

Sumber - Berita Harian
Jurassic Park 3D Temui Penonton Tahun Depan Jurassic Park 3D Temui Penonton Tahun Depan Reviewed by Adslah Admin on 7:18:00 AM Rating: 5

Post AD