Header AD

Dua Kali Gerai Dirempuh



KUANTAN: “Hanya dua minit memisahkan saya dengan maut kerana jika saya lambat sedikit meninggalkan dapur, sudah pasti nyawa saya melayang dirempuh kereta itu,” kata Roziah Abdul Rahman, 33, pemilik gerai makan yang dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Bukit Setongkol, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, bahagian depan gerai makannya roboh, manakala dapurnya pula musnah sama sekali apabila MPV jenis Toyota Estima dinaiki pasangan suami isteri berkenaan merempuh gerainya yang dibuka sejak jam 3 petang.

Katanya, sebelum kejadian, dia baru selesai menyiapkan nasi goreng dipesan pelanggan, manakala suami, Ikhwan Nasir Jahudin, 37, berada di bahagian tepi gerai bersama anak keduanya, Nor Syafikah Ikhwan Nasir, empat tahun.

“Selepas masak, saya pergi ke arah anak bongsu saya (Nor Ain Aisyah, 16 bulan) yang berada di sofa di tepi dapur dan mengangkatnya ke dalam buaian bagi menidurkannya.

“Namun, beberapa saat kemudian saya mendengar bunyi brek kenderaan sebelum melihat sebuah kereta berwarna putih meluru laju ke arah gerai menyebabkan saya menjerit ke arah suami dan seorang pelanggan supaya melarikan diri,” katanya.

Katanya, kereta berkenaan merempuh bahagian dapur sebelum terhenti di hadapan gerai dan apa yang membimbangkan, kereta itu berkemungkinan meletup kerana tong gas digunakan untuk memasak turut diseret dan melekat di bawah kenderaan berkenaan.

Roziah berkata, dia bersyukur keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan, namun terkilan melihat gerai yang diusahakan sejak 13 tahun lalu musnah.

“Saya kecewa kerana pemandu yang merempuh gerai saya tidak meminta maaf sebaliknya terus meninggalkan gerai ini dengan menaiki sebuah kereta lain,” katanya.

“Saya tidak pasti bila gerai kami ini akan dapat beroperasi semula memandangkan banyak barang terutamanya dapur, kerusi dan meja mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.

Sementara itu, Ikhwan berkata, dia tidak menyangka kejadian sama yang pernah berlaku dua tahun lalu berulang kembali dan lebih menyedihkan, kerosakan dan kerugian kali ini lebih teruk.
Dua Kali Gerai Dirempuh Dua Kali Gerai Dirempuh Reviewed by Adslah Admin on 7:42:00 AM Rating: 5

Post AD