Header AD

Budak Maut Diseret 10km


Muhammad Aslam Maricar

Butterworth: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun diseret kenderaan sejauh 10 kilometer selepas tercampak dari kenderaan keluarganya yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 168.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), malam kelmarin. 

Dalam kejadian 8.45 malam itu, Muhammad Aslam Maricar Said Ibnu Aslam, dipercayai maut di tempat kejadian manakala adiknya, Nur Aisyah Aslam, dua tahun, yang turut tercampak dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, akibat cedera di muka dan tangan. 
Bagaimanapun, enam ahli keluarganya iaitu bapa, Said Ibnu Aslam GM Ismail, 47; ibu, Nuris Berutu, 40; ibu saudara, Nurjadi Berutu, 28; abang, Zulqarnain Aslam, 14, dan Sharol Ramadhan, 12, terselamat dan hanya mengalami cedera ringan. 

Said Ibnu Aslam berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga menaiki kereta jenis Ford Lancer dalam perjalanan pulang ke rumah di Air Itam, Pulau Pinang selepas bercuti di Bukit Merah Laketown Resort, di Taiping, Perak. 

Elak bangkai anjing 

Katanya, kemalangan berlaku apabila beliau cuba mengelak bangkai anjing sebelum hilang kawalan menyebabkan kenderaan berpusing lalu melanggar pembahagi kanan dan kiri lebuh raya. 

“Pada masa sama, saya melihat dua anak saya, Nur Aisyah Aslam dan Muhammad Aslam Maricar yang duduk di belakang tercampak keluar dari kenderaan manakala saya, isteri, adik ipar dan dua lagi anak saya tetap dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di HSJ, semalam. 
Said Ibnu Aslam berkata, selepas kejadian itu, dia segera mencari dua anaknya sebelum menemui anak bongsu tertiarap dalam longkang, kira-kira lima minit kemudian manakala usaha mencari Muhammad Aslam Maricar di sepanjang lebuh raya termasuk hutan berhampiran selama lebih dua jam menemui kegagalan. 

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, dia menerima panggilan seorang lelaki yang memintanya ke hospital dengan memaklumkan anaknya sudah ditemui dan berada di sana. 

“Saya menyangka anak saya ditemui dalam keadaan selamat tetapi sedih selepas mengetahui Muhammad Aslam Mericar sudah meninggal dalam keadaan menyayat hati,” katanya yang reda dengan pemergian arwah. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menyiasat kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui 10 kilometer dari lokasi kejadian berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, kira-kira tiga jam selepas kemalangan. 

“Ketika ditemui, mayat sudah hancur. Siasatan awal mendapati tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu dengan pemandu dan penumpang hanya cedera ringan dan dirawat di HSJ,” katanya.
Budak Maut Diseret 10km Budak Maut Diseret 10km Reviewed by Adslah Admin on 6:53:00 AM Rating: 5

Post AD