Header AD

Budak Mati Kerana Terjatuh Dari Tingkat Lapan di Blok Cemara 2, Kuarters Hospital Permai


TINGGI... Devakumar menunjukkan tempat anaknya terjatuh.

JOHOR BAHRU: “Saya menghampiri Dinesh dan melihat dia masih bernyawa. Apabila memanggil namanya, mata dia masih bergerak,” kata B Devakumar, 22, bapa Dinesh Kumar, 4, kanak-kanak yang mati selepas terjatuh dari tingkat lapan di Blok Cemara 2, kuarters Hospital Permai di sini, jam 7 malam kelmarin.

Menurutnya, dia hanya menyedari kejadian menimpa anak sulung daripada tiga beradik itu apabila pulang ke rumah selepas membeli barangan dapur dan meletak motosikal di bangunan itu.

Katanya, ketika itu dia terkejut melihat sekumpulan penduduk berkumpul berhampiran surau di tingkat bawah dan lebih terkilan apabila mendapati anaknya, Dinesh Kumar, terbaring kaku berlumuran darah.

“Saya panik dan tidak percaya ia anak saya lalu berlari menaiki lif bagi mendapatkan kepastian isteri yang berada di rumah.

“Ketika itu saya melihat isteri turun ke tingkat bawah sambil menangis dan membawa dua adik Dinesh Kumar,” katanya.

Devakumar berkata, akibat kejadian itu, anaknya dipercayai patah leher, namun dilihat masih bernyawa ketika dihampiri keluarganya.

Menurutnya, yang mengecewakan, ambulans hanya tiba selepas 45 minit kemudian, menyebabkan anaknya lewat menerima pertolongan kecemasan.

Katanya, malah doktor yang memeriksa anaknya menyatakan Dinesh Kumar sudah meninggal dunia.

“Saya tinggal di sini selama setahun bersama abang ipar yang bekerja di Hospital Permai dan kami mendaftar masuk ke sini secara sah.

“Sebelum ini, beberapa kali kami membuat aduan berhubung ketiadaan jeriji di tingkap rumah seluruh bangunan, kecuali tingkat bawah. Kami berbuat demikian kerana bimbangkan keselamatan anak.

“Bagaimanapun, kami difahamkan, usaha memasang jeriji tidak dapat dilakukan kerana tidak dibenarkan pihak atasan,” katanya.

Devakumar berkata, dia tidak menjangka anaknya menjadi mangsa apabila terjatuh daripada tingkap bilik ketika isterinya, V Jayadurka, 22, yang juga suri rumah, mandi di bilik air.

“Saya difahamkan, beberapa saksi melihat Dinesh menjenguk ke luar sebelum sebahagian badannya tersepit antara tingkap.

“Keadaan itu tidak mungkin berlaku jika tingkap mempunyai jeriji. Akibat kecuaian pengurusan, anak saya meninggal dunia.

“Saya berharap pengurusan akan membaiki kelemahan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya ketika ditemui di bilik mayat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati mangsa membuka sendiri tingkap bilik di rumahnya.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh dari bilik dan cedera parah di kepala.

Budak Mati Kerana Terjatuh Dari Tingkat Lapan di Blok Cemara 2, Kuarters Hospital Permai Budak Mati Kerana Terjatuh Dari Tingkat Lapan di Blok Cemara 2, Kuarters Hospital Permai Reviewed by Adslah Admin on 4:11:00 AM Rating: 5

Post AD