Header AD

Bomba Padam Api Guna Air Longkang


MARAK...anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran kilang di Batu 5, Jalan Kapar, semalam.

KLANG: Sebuah kilang kitar semula tong dram hampir musnah dalam kebakaran di Batu 5, Jalan Kapar, semalam.

Dalam kejadian jam 1.48 tengah hari itu, kilang berkeluasan 2,000 meter persegi hampir musnah selepas api marak dan membakar sebahagian bangunan kilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, tiga jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Kota Raja dan Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Katanya, pihaknya mengalami kesukaran memadam kebakaran itu kerana kawasan terbabit tiada sumber air dan menggunakan air dari longkang berhampiran.

“Kami menggunakan air longkang kerana kawasan itu tiada pili bomba dan tekanan air yang rendah menyebabkan operasi mengambil masa tiga jam bagi memadam keseluruhan kebakaran.

“Api dapat dikawal sepenuhnya jam 5.05 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Mohamad Sani berkata, seramai 12 anggota bomba dan penyelamat diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Siasatan Tinggi, Ishak Bakar ditugaskan bagi memadam kebakaran itu.

Katanya, punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.
Bomba Padam Api Guna Air Longkang Bomba Padam Api Guna Air Longkang Reviewed by Adslah Admin on 6:56:00 AM Rating: 5

Post AD