Header AD

Terengganu Lepaskan Marzuki, Mazlizam ke T-Team


KUALA TERENGGANU - Selepas kehilangan 10 pemain, skuad bola sepak Terengganu terpaksa menerima hakikat kehilangan dua lagi tonggak mereka yang mencatur nasib menyertai pasukan lain musim depan.

Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad kini sah akan menyarung jersi 'pasukan adik', T-Team musim depan selepas mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk berhijrah.

Menurut Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh, persatuan tiada pilihan selain mengambil keputusan untuk melepaskan kedua-dua pemain itu bagi membolehkan mereka meneruskan karier bersama pasukan baru.

Katanya, Marzuki dan Mazlizam telah menyatakan hasrat untuk berhijrah dan persatuan tidak mahu menyekat keinginan mana-mana pemain yang ingin menyertai pasukan lain, namun ia perlu mendapat persetujuan dan rundingan secara bersama antara semua pihak yang terlibat.

"Kita mengambil keputusan ini setelah mengadakan rundingan secara bersama dan ia adalah yang terbaik demi pembangunan sukan bola sepak di negeri ini.

"Kita juga tidak mempunyai sebarang masalah berhubung mana-mana pemain yang ingin berhijrah ke pasukan lain, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara yang betul kerana buat apa mahu sekat sekiranya mereka mahu pergi. Kita mahukan pemain yang maju berjuang bersama pasukan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambah beliau, dengan penghijrahan mereka ke pasukan berstatus kelab itu, beliau berharap mereka mampu melonjakkan lagi prestasi sukan bola sepak Terengganu.

Kapten pasukan (Marzuki) dan pemain pertahanan kanan kelahiran Perlis (Mazlizam) antara 12 pemain skuad Penyu yang meminta perlepasan daripada menyertai skuad itu musim depan selain Mohd Sharbinee Allawee (penjaga gol); Mohd Muslim Ahmad (pertahanan); Abdul Hadi Yahya (penyerang); tiga pemain tengah, Joseph Kalang Tie; Reeshafiq Alwi dan Shukor Jusoh.

Selain mereka, turut minta dilepaskan adalah Hariri Mohd Shafie (pertahanan) dan Ailim Fahmi Kamaruddin (penyerang), manakala PBSNT turut memutuskan tidak memperbaharui kontrak dua pemain import, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva.

Berita Utusan Malaysia
Terengganu Lepaskan Marzuki, Mazlizam ke T-Team Terengganu Lepaskan Marzuki, Mazlizam ke T-Team Reviewed by Adslah Admin on 1:32:00 PM Rating: 5

Post AD