Header AD

Terbantut Curi Haiwan

MAHAL...Chung bersama kucing baka benggal yang nyaris dicuri dalam kejadian pecah kedainya.

IPOH: Cubaan tiga lelaki melarikan beberapa ekor kucing, arnab dan anak beruk dari sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di sini, awal pagi kelmarin, terbantut apabila usaha mereka digagalkan polis.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga lelaki berusia 17 hingga 28 tahun dikesan menceroboh premis berkenaan di Gunung Rapat sebelum disedari orang ramai.

Ketiga-tiga suspek dicekup ketika membawa bersama masing-masing seekor kucing bengal dan kucing siam selain beberapa ekor arnab dan seekor anak beruk bernilai lebih RM3,000.

Polis turut merampas beberapa barangan berharga lain termasuk wang tunai RM300, sebuah komputer riba, dua tabung duit, dua beg makanan kucing seberat 1.5 kilogram dan dua sangkar kucing yang dilarikan dari premis berkenaan.

Pemilik premis, Chung Weng Kee, 45, ketika ditemui berkata, dia menerima maklumat kejadian itu selepas dimaklumkan rakan yang tinggal berhampiran premisnya.

Beliau berkata, sejurus tiba, dia terus menghubungi polis sebelum ketiga-tiga suspek berjaya diberkas tidak jauh dari premisnya.

“Sebaik memeriksa di dalam premis, beberapa haiwan didapati hilang dari sangkar pameran sebelum mendapati siling premis pecah dipercayai dilakukan suspek untuk menyusup masuk ke premis ini.

“Ia kejadian samun pertama di premis ini sejak saya menjalankan perniagaan ini 14 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, seorang suspek pernah datang ke premisnya Isnin lalu sebelum membeli seekor arnab bernilai RM60.

Chung berkata, sebelum ini, ada beberapa kes pecah kedai di kawasan ini namun ia hanya membabitkan kecurian wang tunai namun kali ini berbeza kerana pencuri mensasarkan haiwan peliharaan yang bernilai tinggi di pasaran.

Saksi kejadian, Frankie Chin, 36, berkata, dia dikejutkan dengan bunyi bising anjingnya yang menyalak kuat sebelum melihat beberapa suspek memasuki premis menerusi siling.

“Saya terus menghubungi pemilik premis dan polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Anuar Osman ketika dihubungi berkata, kejayaan itu hasil kerjasama orang awam yang melaporkan kepada polis selepas melihat kejadian.

“Ketiga-tiga suspek berasal dari Ipoh dan mereka akan direman sehingga esok (hari ini),” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terbantut Curi Haiwan Terbantut Curi Haiwan Reviewed by Adslah Admin on 2:22:00 PM Rating: 5

Post AD