Header AD

Suburkan Sikap Pemaaf Elak Sombong


Manusia tidak terlepas melakukan kesilapan kerana fitrah kejadian mereka serta nisbah perkataan manusia itu sendiri membawa pengertian alpa dan leka. Lebih-lebih lagi apabila kesalahan itu dilakukan sesama manusia hasil perkenalan atau persahabatan antara mereka. 

Begitu juga hubungan kekeluargaan dan rakan kongsi yang terkadang akan tercalar disebabkan sesuatu perkara yang menyinggung perasaan sesuatu pihak. Nabi SAW bersabda: “Setiap orang Mukmin tetap akan melakukan kesalahan dan dosa antara sama lain.” 
Di samping hubungan manusia dengan Allah SWT, Islam menitikberatkan juga perhubungan sesama manusia bagi merancakkan aktiviti kehidupan di dunia. 

Saidina Ali berkata: “Sesungguhnya empat amalan yang paling sukar dilakukan iaitu memberi maaf pada waktu marah. Kedua, bersikap pemurah pada waktu susah. Ketiga, menjauhi yang haram pada waktu sunyi dan keempat, mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti dan berkuasa atau kepada orang yang diharapkan sesuatu pemberian darinya.”

Perkara dituntut

Allah SWT berfirman: “Ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana-mana pun mereka berada (tanpa kemuliaan dan keamanan) kecuali (mereka berada) dengan tali (agama) daripada Allah dan tali (perdamaian) dengan manusia.” (Surah Ali-Imran, ayat 112).

Mereka yang mampu menguasai gelanggang kehidupan dengan baik akan sentiasa memaafkan kesalahan orang lain dan merekalah golongan yang dapat menyingkirkan sifat sombong serta berjaya di akhirat. 

Jelas sifat sombong tercetus daripada sikap mereka yang tidak bersedia memaafkan orang lain. Sikap saling memaafkan antara satu sama lain adalah perkara yang amat dituntut bagi mengeratkan kembali hubungan yang sudah terjalin. 
Tidak dinafikan sifat pemaaf memang sukar dilakukan kerana manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga menjejaskan nilai moral mereka yang sebenar. 

Apatah lagi apabila kesalahan itu membabitkan tuduhan atau dakwaan yang memalukan orang lain seterusnya menyebabkan penganiayaan terhadap insan lain.

Saidina Ali berkata: “Sesungguhnya empat amalan yang paling sukar dilakukan iaitu memberi maaf pada waktu marah. Kedua, bersikap pemurah pada waktu susah. Ketiga, menjauhi yang haram pada waktu sunyi dan keempat, mengatakan yang hak kepada orang yang ditakuti dan berkuasa atau kepada orang yang diharapkan sesuatu pemberian darinya.”

Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhanku, siapakah orang yang paling mulia di kalangan hambaMu? Allah SWT menjawab: Orang yang sanggup memaafkan orang lain walaupun ia mampu dan berpeluang untuk membalas kembali.” (Riwayat Baihaqi) 

Menurut Imam Ghazali, sabar adalah sifat khas manusia yang tidak dimiliki makhluk lain. Oleh itu, sabar amat penting dan utama dalam mengharungi kehidupan. Bahkan permusuhan dan kemaksiatan yang tumbuh dalam masyarakat juga disebabkan oleh manusia yang tidak sabar dalam menghadapi kehidupan dunia yang penuh dinamik.

Pertembungan dua unsur

Sikap negatif yang dicetuskan syaitan akan sentiasa menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam diri seseorang. Pertembungan dua unsur iaitu pemaaf dan nafsu kemarahan mewujudkan satu mekanisma saling ingin menguasai menyebabkan ia amat berat dilakukan.

Antara kisah paling masyhur mengenai sifat pemaaf ialah ketika Nabi Muhammad diracun seorang perempuan Yahudi dengan meletakkan racun itu kepada daging kambing panggang yang amat digemari Baginda SAW. 

Walaupun sahabat Baginda, Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan Yahudi itu, Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya. Malah Baginda berdoa kepada Allah SWT supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya perempuan Yahudi itu memeluk agama Islam.

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas akan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)
Suburkan Sikap Pemaaf Elak Sombong Suburkan Sikap Pemaaf Elak Sombong Reviewed by Adslah Admin on 4:27:00 PM Rating: 5

Post AD