Header AD

Sedekah Cendekiawan Muslim


Karya intelek angkat pembangunan ummah dapat ganjaran hingga kiamat

Amatlah rugi bagi sesiapa yang menjalani kehidupan dunia ini tanpa memperhitungkan nasib di alam akhirat kelak. Kehidupan dunia yang dipenuhi pelbagai kenikmatan banyak menyebabkan sebahagian kita tergelincir dan jatuh ke jurang hina lagi dimurkai Allah. 

Sebab itulah jika kita perhatikan dengan teliti pesanan Rasulullah SAW, perkara yang banyak dipesan ialah supaya kita tidak dikaburi oleh nikmat dunia, sebaliknya menjadikan nikmat dunia sebagai ‘talian hayat’ buat alam akhirat nanti. 

Kata Rasulullah SAW, antara bekalan yang kita iringi bersama ke alam akhirat nanti ialah sedekah jariah yang dilakukan semasa hidup. Dalam Islam, skop tafsiran sedekah begitu luas kerana ia bukan setakat dalam bentuk wang ringgit semata-mata. 

Malah, sumbangan fikiran dengan idea yang kreatif lagi bernas demi membina satu gagasan buat ummah juga dikira sebagai sedekah, iaitu sedekah dalam bentuk fikiran. 

Justeru, ilmuwan di institut pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya melihat cetusan kajian dan idea penyelidikan yang dilakukan hanya berlegar di sekitar memenuhi kriteria kerjaya saja tetapi perlu menerapkan niat demi mengharapkan ganjaran pahala Allah atas usaha yang dilaksanakan. 

Usaha merekacipta dan melakukan kaji selidik untuk manfaat manusia adalah usaha yang terpuji lagi mulia. Sesungguhnya segala sumbangan fikiran yang boleh menerbitkan satu ciptaan buat ummah umpama membina ‘saliran’ yang akan mengalirkan ganjaran pahala selagi ia dimanfaatkan. 

Teladanilah sikap yang ditunjukkan saintis Islam terdahulu yang memahat sejarah keemasan di persada dunia dengan menerokai pelbagai disiplin ilmu dan melakukan kajian penuh inovasi. Mereka lakukan bukan atas dasar untuk mempromosikan keunggulan diri sebaliknya memberi kecemerlangan hidup buat ummah. 
Contohnya, Ibnu al-Haitham yang terkenal dalam bidang matematik dan ilmu optik. Sehingga kini anak-anak kita di sekolah dan IPT masih mengaplikasikan teori serta praktikal yang diperkenalkan olehnya. 

Semangat ingin menggali seberapa ilmu pengetahuan dan menghasilkan ciptaan buat kepentingan ummah tidak pernah padam dalam jiwa Ibnu Haitham. Banyak karakter peribadi beliau yang wajar kita renungi khususnya oleh cerdik pandai muslim masa kini. 

Dunia Barat mengenali Ibnu Haitham dengan nama Al-Hazen dan dinobatkan sebagai Bapa Optik Moden yang dikagumi. Catatan sejarah peribadinya menjelaskan beliau begitu meminati sains sejak usia kecil dan terus terserlah potensinya dalam lapangan itu tatkala meningkat remaja. 

Antara sifat yang seharusnya kita teladani daripadanya ialah sikap melakukan kerja dengan teliti dan sentiasa berhati-hati. Beliau tidak mudah berputus asa apabila menghadapi sesuatu permasalahan dalam kajiannya. 

Ternyata Ibnu Haitham begitu tebal dengan penghayatan bahawa sikap putus asa bukannya satu nilai hidup bagi seseorang yang yakin pertolongan Allah. Keyakinan yang penuh terhadap pertolongan Allah membuatkan jiwa Ibnu Haitham tidak lekas mengalah berdepan kesukaran. 

Malah memiliki daya juang yang utuh, beliau menekuni segala eksperimennya dengan gigih. Inilah ciri-ciri sebenar seorang cendekiawan mukmin yang seharusnya ditonjolkan. 

Ibnu Haitham pernah mengatakan, “Selagi aku masih bernyawa aku akan gunakan seluruh tenaga dan kekuatan untuk melakukan kegiatan ilmiah supaya dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada insan lain yang mencari kebenaran dan aku akan terus menggilap daya fikir dalam pemikiranku serta sebagai bekalan hari tua.” 

Jelas di sini Ibnu Haitham bukan seorang saintis biasa yang sekadar melakukan uji kaji dan penemuan ilmiah untuk mengangkat dirinya sebagai tokoh popular dalam ilmu pengetahuan, sebaliknya beliau ikhlas menghadiahkan sumbangan demi kebaikan ummah dan manusia seluruhnya.

Memang terbukti apa yang beliau hasratkan itu tercapai kini kerana karya dan ciptaannya masih dianggap sebagai perintis kepada pelbagai ilmu sains khususnya dalam bidang optik. 

Rasulullah SAW juga ada mengatakan ilmu yang bermanfaat dan dapat dirasai manfaatnya oleh orang lain adalah ‘saliran’ ganjaran pahala di akhirat nanti. Justeru, apa yang dilakukan oleh Ibnu Haitham itu tadi suatu contoh yang sewajarnya diteruskan saintis Muslim masa kini. 

Kita tidak boleh membiarkan catatan indah sejarah pencapaian saintis Muslim terdahulu hanya sebagai bahan koleksi untuk digalerikan saja. Cendekiawan Muslim perlu terus menghidupkan budaya melakukan kajian dan menghasilkan inovasi berimpak tinggi untuk dimanfaatkan manusia sejagat. 

Seorang lagi tokoh sains Muslim yang meninggalkan sumbangan besar terhadap dunia ilmu pengetahuan khususnya kepada umat Islam, ialah Badiuzaman Said Nursi, seorang Muslim berbangsa Kurdis. 

Antara sumbangan penuh makna beliau hingga kini diiktiraf sebagai pembangkit semangat motivasi buat cendekiawan Muslim terus menggarap kajian sains yang berpaksikan kepada kebenaran agama. 

Beliau seorang ulama yang sekali gus menjadi pemikir dengan langkah berani melakukan kajian mendalam terhadap pemahaman masyarakat terhadap penghayatan agama dan ilmu pengetahuan. 

Cetusan hatinya yang berkobar untuk menyelongkar segala ilmu dan membuat analisis terperinci timbul semasa beliau menatap satu paparan akhbar yang memetik ucapan kontroversi Menteri Tanah Jajahan British, William Ewart Glastone yang mengatakan: “Selagi al-Quran berada di tangan-tangan orang Islam, selagi itulah kita tidak akan mampu menguasai mereka. Oleh itu, kita mesti jauhkan al-Quran daripada mereka.” 

Kata-kata ini direnungi dengan mata hatinya lantas berbisik naluri untuk membuat sesuatu demi menyelamatkan ummah. Hasilnya, atas usaha penuh komitmen, beliau berjaya menghasilkan karya agungnya, Rasail an-Nur yang memperincikan mengenai keimanan dan kehidupan beragama. 

Karya itu turut terangkum sama segala paparan berkenaan kajian sains. Ini bermakna beliau mampu mengharmonikan sains dengan kehendak agama supaya tidak terpisah. Karyanya itu menjadi pencetus kepada Harun Yahya yang mengetengahkan karya sains tanpa memisahkan unsur agama. 

Jelaslah di sini bahawa cendekiawan perlu menjadikan kebestarian akal dan daya intelek mereka untuk mengangkat kemajuan ummah dan menjadikan usaha itu sebagai sumbangan sedekah amal jariah buat ummah dan manusia lain amnya.

Sumber - Berita Harian
Sedekah Cendekiawan Muslim Sedekah Cendekiawan Muslim Reviewed by Adslah Admin on 3:10:00 PM Rating: 5

Post AD