Header AD

Pelapis Kebangsaan Pastikan UiTM Kuasai Boling


KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diperkuatkan dengan beberapa pemain skuad pelapis kebangsaan, mempamerkan penguasaan dalam acara boling pada kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang menutup gelanggang di pusat membeli belah Sunway Pyramid, dekat sini semalam, dengan membolot tujuh daripada 10 emas yang dipertandingkan.

Paling menyerlah tentunya Jonathan Ding Sagan, penuntut jurusan Diploma Juruukur Bahan di UiTM Sarawak, yang hampir menyapu bersih kesemua lima emas dalam bahagian lelaki jika tidak kempunan gelaran acara perseorangan pada hari pembukaan Isnin lalu.

Setelah dikejutkan oleh wakil Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Muhd. Amin Abd. Razak untuk berpuas hati dengan perak dalam perseorangan, pemain muda kebangsaan itu bangkit garang untuk mengungguli acara beregu dan berpasukan, yang membolehkan dia menggondol juga emas All-Events (ranking skor tiga acara).

Semalam, Jonathan membuktikan kenapa dia wajar bergelar raja boling SUKIPT apabila menumpaskan rakan sepasukan UiTM yang juga anggota pelapis kebangsaan, Yusuf Abdul Raof 238-202, 227-222 dalam perlawanan akhir stepladder acara Masters lelaki, sekali gus melengkapkan minggu sempurna pada temasya ini.

"Memang lebih bagus kalau sapu bersih lima emas, tetapi tiada kekesalan, tiada kekecewaan. Saya sangat gembira dengan persembahan sepanjang minggu ini.

"Agak cemas juga berdepan dengan Yusuf pada final kerana dia bermain mantap untuk keseluruhan 10 game untuk mara ke stepladder sebagai pendahulu, namun saya dapat kekalkan fokus dan bertenang untuk menang," katanya.

Sementara itu, kehebatan individu pemain elit kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman berjaya menyekat dominasi UiTM dalam bahagian wanita.

Siti Safiyah yang telahpun disahkan emas bagi All Events, melengkapkan kejuaraan berganda dengan menumpaskan rakan sepasukan Kolej SEGI, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi 211-225, 299-214 dalam Masters wanita.

Tiga emas pertama kesemuanya diraih UiTM, yang dibarisi skuad bintang-bintang remaja, Nur Umirah Abdul Raduan, Fatin Azmira Khairul Faizi, Nursyamimi dan Nazrinnah Mohd. Kamil.

"Sebagai salah seorang daripada dua pemain elit dalam SUKIPT (selain Syaidatul), tekanan untuk bermain dengan baik dan menang memang ada. SUKIPT bukan calang-calang temasya, semua pemain lawan hebat dan mampu buat skor tinggi," ujar Siti Safiyah yang turut meraih perak dalam beregu dan berpasukan.


Berita Utusan Online
Pelapis Kebangsaan Pastikan UiTM Kuasai Boling Pelapis Kebangsaan Pastikan UiTM Kuasai Boling Reviewed by Adslah Admin on 1:31:00 PM Rating: 5

Post AD