Header AD

Menantu Tanggung Hutang Mentua


SAYA berusia awal 30-an, sudah beristeri dan mempunyai seorang anak perempuan. Kami sudah mendirikan rumah tangga hampir tiga tahun. Dulu saya bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang swasta di Melaka.

Masalah timbul apabila keluarga mentua menggunakan nama saya untuk membuat pinjaman peribadi di bank bagi tujuan perniagaan. 
Pelbagai janji yang ditaburkan seperti membayar balik pinjaman di bank, membantu saya membayar pinjaman belajar dan mendapat duit bulanan daripada perniagaan itu. 

Apabila pinjaman itu lulus, perjanjian yang dilakukan secara mulut hanya tinggal janji. Segala wang diserahkan kepada mereka berdasarkan perjanjian tetapi apabila tiba bayaran bulanan, kami sering bertengkar.

Ini menjadikan isteri saya mangsa keadaan kerana apabila saya menuntut hutang itu, mereka memarahi isteri saya. Mereka hanya membayar hutang itu selama lima bulan saja.

Mentua saya turut membuat pinjaman sebanyak RM100,000 atas nama isteri saya tanpa pengetahuan saya dan sebelum pinjaman itu dipindah milik, saya memulangkan wang itu kepada bank. 

Kereta isteri saya turut menjadi mangsa apabila mereka meminjam dan berjanji membayar bayaran bulanan kereta itu. Pada awalnya, saya enggan menerimanya kerana tidak mempercayai janji kosong mereka tetapi isteri saya tetap memujuk supaya memberi kebenaran. 

Selepas tiga bulan, kereta itu ditarik bank dan hutangnya perlu dibayar. 
Disebabkan bebanan hutang yang terlalu banyak menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja. 

Kini, kami terpaksa menumpang di rumah mentua walaupun tahu masalah yang ada. 
Bagaimanakah cara menghadapi sikap mentua yang suka berhutang tetapi tidak mahu membayarnya dan kaedah terbaik melangsaikan semua hutang itu? 

Mereka sering meninggalkan solat wajib walaupun rajin membuat solat sunat di masjid seperti solat Tarawih. Saya dan isteri pernah dimarahi kerana meninggalkan mereka ketika berbuka apabila mengejar solat Maghrib. 

MENANTU SEDIH, 
Melaka 

BERHUTANG dibenarkan dalam Islam. Ini ber�tepatan dengan keadaan hidup manusia yang serba kekura�ngan. Tentu saja mereka yang berhutang kesempitan wang atau ada keperluan lain. 

Memberi hutang termasuk dalam kategori tolong menolong dalam masyarakat dan amat digalakkan. Kadangkala masyarakat sering menyalah guna hutang apabila enggan membayar atau menggunakannya untuk mengejar kekayaan secara berhutang hingga gagal menjelaskannya. 

Padahal dalam Islam kita disarankan supaya menghindari diri daripada berhutang sedaya mungkin. Dalam berurusan dengan hutang, Islam menitikberatkan beberapa adab yang perlu diambil kira antaranya: 

  • Ia hendaklah ditulis dan mempunyai saksi. 
  • Pemberi hutang tidak boleh mengambil keuntungan daripada hutang itu. 
  • Mempunyai niat baik dalam berhutang dan membayar hutang. 
  • Memberitahu lebih awal sekiranya tidak dapat membayar hutang. 
  • Jangan bertangguh-tangguh dalam membayar hutang. 

Nampaknya keluarga mentua tidak mengambil kira adab dalam berhutang. Sebab itu, anda menghadapi kesulitan apabila terpaksa membuat pinjaman dengan bank. 

Pihak bank pula tidak mengetahui atau mengambil peduli masalah anda sekeluarga. 
Kadangkala pihak bank seperti menggalakkan orang ramai berhutang. 

Lebih-lebih lagi adanya tuntutan peribadi supaya berhutang untuk mendapat kemewahan duniawi. Secara peribadi, saya berpendapat anda yang bertanggungjawab menjelaskan hutang bank itu walaupun semuanya diberi kepada keluarga mentua. 

Seterusnya, keluarga mentua bertanggungjawab membayar balik hutang itu kepada anda. Tentu saja apabila janji tidak ditepati, anda menghadapi kesulitan. 

Dalam keadaan sekarang, anda tentu tidak dapat membayar semua hutang anda lebih-lebih lagi apabila tidak bekerja. Saya menyarankan anda supaya meminta bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam hal ini. 

Setiap masalah tentu ada jalan penyelesaian antaranya kembali bekerja dan berbelanja mengikut kemampuan. Berkenaan keluarga mentua yang cuai dalam menunaikan tanggungjawab agama seperti solat fardu, ia perlu ditangani. 

Ini kerana setiap Muslim wajib menunaikan solat. 

Mengabaikan solat fardu membawa akibat buruk kepada kehidupan peribadi sama ada di dunia atau di akhirat. 

Berusahalah untuk menyedarkan keluarga berkenaan kepentingan solat fardu.

Sumber - Berita Harian Metro
Menantu Tanggung Hutang Mentua Menantu Tanggung Hutang Mentua Reviewed by Adslah Admin on 6:54:00 PM Rating: 5

Post AD