Header AD

Masih Tutup


PERIKSA...pihak JKR melakukan analisis tanah.

AMPANG: Penutupan Jalan Ampang-Hulu Langat akan diteruskan sehingga hari ini bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin sekali gus membolehkan kerja pembersihan tanah diteruskan berikutan runtuhan yang berlaku berdekatan susur Menara Tinjau, di sini, kelmarin.

Ia turut memberi ruang kepada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memastikan kawasan itu bebas lumpur sebelum dibuka semula kepada orang awam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, arahan itu kekal sehingga keadaan benar-benar selamat.

“Buat masa ini pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) masih lagi melakukan kerja pembersihan di atas jalan dengan runtuhan tanah melitupi tiga suku jalan atau 50 meter laluan dan keadaan ini berbahaya kepada tebing dan penduduk di Kampung Ampang Saujana yang terletak berhampiran.

“Oleh itu, laluan di susur berdekatan Batu 14 dan berdekatan simpang Kampung Ampang Saujana akan ditutup sehingga esok (hari ini) dan pembukaannya akan diumumkan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Beliau berkata, keadaan akan dipantau supaya tiada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku terutama apabila keadaan cuaca kurang menentu kebelakangan ini.

“Kami akan menunggu keputusan pihak forensik JKR bagi makluman status analisis tanah dan keadaan bumi di kawasan terbabit kerana ia gagal dikenal pasti pada malam kejadian berikutan cuaca gelap,” katanya.

Amiruddin berkata, kawalan ketat dilakukan dengan menempatkan balai polis bergerak dan anggota Rela di susur jalan berkenaan.

Tinjauan Harian Metro ke tempat kejadian juga mendapati keadaan stabil dan orang awam mematuhi arahan namun kedai berhadapan persimpangan Kampung Ampang Saujana masih beroperasi seperti biasa.

Peniaga, Shapari Mat, 45, berkata dia melihat sendiri kejadian itu walaupun hanya dari jauh.

“Setiap hari saya akan berniaga bermula jam 4 petang hingga 3 pagi dan saya mendengar bunyi runtuhan walaupun berada pada jarak 1.2 kilometer dari tempat kejadian,” katanya.

Katanya, ia kejadian biasa di kawasan berkenaan terutama apabila hujan berterusan turun.
Masih Tutup Masih Tutup Reviewed by Adslah Admin on 11:57:00 AM Rating: 5

Post AD