Header AD

Mahu Jadi Pemilik Terawal



SAMBIL menggalas sebuah beg di bahu, seorang lelaki pertengahan usia menjadi orang pertama yang beratur dalam satu barisan khas. Dirinya tenang menunggu sementelah di belakangnya terdapat puluhan lagi individu yang juga sabar berbaris.

Sesekali matanya melirik ke arah jam yang tersarung di tangan kanannya yang menunjukkan pukul 8.45 pagi. Itu bermakna, masih ada 1 jam 15 minit waktu yang perlu ditunggu sebelum pukul 10 pagi. Namun, riak wajahnya masih sama dan bersahaja seolah-olah berdiri di situ sejak pukul 7 pagi bukan satu masalah besar buatnya.

Sebaik pengacara majlis mengumumkan siri jelajah pertama Samsung Galaxy Note II di Malaysia yang berlangsung di Centre Court, pusat beli-belah MidValley dibuka kepada orang ramai, dia yang memegang kertas tertera nombor 1 segera ke kaunter.

Dalam masa beberapa minit, prosedur jual beli selesai dilaksanakan. Gajet canggih yang dijual pada harga RM2,299 seunit itu akhirnya berada di tangan Edison Liew sekali gus merupakan antara pelanggan terawal yang memilikinya dalam pasaran di negara ini.

“Sejak Samsung Galaxy Note II diperkenalkan di Berlin, Jerman bulan lalu, hati saya sudah tertawan dengan peranti ini. Saya amat teruja dengan skrin yang besar dan fungsi yang pelbagai apabila membaca tentang keistimewaan gajet ini di internet.

“Justeru, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi antara individu terawal yang memiliki Galaxy Note II apabila ia dipasarkan di Malaysia.

“Kini, ia sudah berada di dalam genggaman saya. Saya tidak sabar untuk meneroka keupayaannya,” ujar Edison yang merupakan Pengurus Sumber Manusia di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Selain itu, Edison bersama 100 pelanggan pertama telefon pintar tersebut turut menerima beberapa hadiah istimewa termasuk kit bateri tambahan telefon, pengecas bateri melalui komputer meja, kulit pelindung telefon boleh lipat dan baucar minuman Starbucks.

Ambil cuti

Bagi seorang pekerja swasta, Rasdan Rashid, 28, dia mengakui sanggup mengambil cuti untuk menyertai siri jelajah sulung itu sekali gus mendapatkan gajet tersebut.

Bagaimanapun, jelas Rasdan, itu merupakan pengalaman pertamanya beratur hampir tiga jam demi menjadi antara individu terawal memiliki produk berkenaan.

“Apabila mengetahui Galaxy Note II akan dilancarkan di Malaysia, saya sudah mula menyimpan sedikit wang untuk mendapatkannya. Ketika sampai di MidValley kira-kira pukul 7.15 pagi, saya ingat akan jadi orang pertama yang beratur. Rupa-rupanya sudah ada orang lain yang sampai dahulu.

“Tetapi tidak mengapa, kerana saya merupakan pelanggan kedua. Rasa seronok kerana dapat merasai pengalaman sebegini,” jelas Rasdan yang menetap di Shah Alam dan keluar rumah pada pukul 6.45 pagi untuk ke Mid Valley.

KOMUNITI pencinta gajet canggih lazimnya mempunyai 
rangkaian kenalan terdiri daripada mereka yang memiliki minat serupa.

Apa yang pasti, Edison dan Rasdan antara contoh golongan yang obses terhadap gajet canggih. Mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk berbaris panjang bagi mendapatkan produk idaman mereka.

Walaupun hakikatnya, mereka boleh sahaja membeli telefon yang mempunyai pelbagai ciri komputer tablet itu pada hari-hari biasa yang lain, namun itu bukan pilihan mereka.

Tukar setiap tahun

Sementara itu, minat yang mendalam terhadap gajet telekomunikasi canggih membuatkan Khairul Anuar Abdul Rahman, 33, sering bertukar-tukar telefon bimbit bagi mengetahui dan meneroka kehebatan peralatan tersebut.

Jika dihitung sejak mula memiliki telefon bimbit pada tahun 1996, konsultan teknologi dalam kejuruteraan pengurusan sistem itu mengakui sudah menukarnya sebanyak 18 kali manakala telefon pintar pertama yang dibeli ialah 02 XDA IIS pada 2004.

“Saya mula berjinak-jinak dengan gajet digital sekitar 10 tahun lalu, namun hanya serius sekitar tujuh tahun kebelakangan ini.

“Walaupun saya meminati gajet tetapi saya tidak pernah obses untuk memiliki setiap keluaran terkini. Ini kerana agak mustahil untuk mengejar kemajuan teknologi terutama evolusi gajet digital.

“Bagi saya, selagi saya boleh menggunakan aplikasi atau ciri yang terdapat pada sesuatu gajet itu tanpa sebarang kekangan, saya akan terus gunakannya,” terangnya yang turut memiliki set radio amatur portable dan beberapa set walkie-talkie.

Kesan negatif

Bagi golongan yang obses pada gajet canggih, mereka mempunyai pelbagai alasan untuk memiliki rangkaian teknologi itu mengikut kapasiti dan keperluan masing-masing. Begitupun, ada sesetengahnya yang terlalu mengikut trend semasa hingga melampaui batas kemampuan sendiri.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaidzir Ismail berkata, golongan yang bersifat obses terhadap sesuatu perkara biasanya banyak membawa kesan negatif pada diri mereka.

Ini termasuklah soal pembaziran dan rasa bangga diri yang wujud lantaran berjaya memiliki gajet-gajet tertentu berbanding orang lain yang tidak mampu untuk membelinya.

“Apa yang pasti terdapat dua ciri manusia yang obses. Pertama, untuk kepuasan dan rasa seronok, mereka sanggup beratur panjang atau menunggu sejak awal pagi agar menjadi antara individu terawal memilikinya.

“Yang kedua pula golongan yang obses untuk mendapatkan barangan tersebut pada bila-bila masa yang mereka mahu selepas ia dilancarkan. Ini membuatkan mereka sanggup mengikat perut dan berjimat semata-mata untuk membeli barang yang diidamkan,” tutur Khaidzir.

Tambah beliau, dalam aspek psikologi manusia, sifat obses sebenarnya berkait rapat dengan persekitaran yang pernah dilalui golongan terbabit ketika zaman kecil mereka.

Contohnya, anak-anak di peringkat prasekolah sudah mempunyai ciri-ciri dan sifat kepunyaan dalam diri apabila inginkan sesuatu.

“Namun, jika persekitaran tidak membantu atau dalam erti kata lain ibu bapa mungkin tidak mampu membeli barang yang dimahukan, apabila dewasa mereka pasti akan mengumpul duit untuk memilikinya,” ungkapnya.




Mahu Jadi Pemilik Terawal Mahu Jadi Pemilik Terawal Reviewed by Adslah Admin on 8:34:00 PM Rating: 5

Post AD