Header AD

MAFA Semakin Buka Mata


KUALA LUMPUR - Ekoran isu kelesuan bola sepak Melaka yang dilaporkan Utusan Malaysia mendorong Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) menjemput kelab Penyokong Bola Sepak Melaka (PBM) menghadiri satu sesi dialog pada 9 November ini di Wisma MAFA.

Menurut wakil PBM yang tidak mahu dikenali, pertemuan itu yang akan diadakan secara tertutup, bakal membuka ruang kepada penyokong Melaka mengetahui hala tuju pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia.

Dua pemimpin tertinggi MAFA, Datuk Yunos Md Husin selaku Presiden dan Setiausaha, Hahi Salleh dijangka hadir pada pertemuan berkenaan.

"Sesi dialog ini akan menjadi pertemuan yang cukup penting kerana penyokong diberikan ruang memberikan pandangan serta cadangan untuk menaikkan semula bola sepak Melaka.

"Kami juga berpeluang bertanyakan segala soalan yang terpendam selama ini dan bagaimana bola sepak Melaka diuruskan oleh MAFA.

"Ternyata laporan Utusan Malaysia memberikan kesan kepada MAFA dan kesudian mereka menemui kami, cukup dihargai dan diharapkan pertemuan itu akan memberikan kesan yang positif antara kedua-dua pihak, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Utusan Malaysia melaporkan kesuraman bola sepak Melaka bermula 25 Oktober lalu dan mendapat pandangan daripada Ong Kim Swee yang merupakan bekas pemain serta jurulatih di samping penganalisis sukan, Rizal Hashim juga penyokong bola sepak Melaka.

Dalam maklum balasnya terhadap laporan akhbar ini, MAFA berkata pihaknya kekurangan bajet bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap namun akan berusaha mendapatkan seberapa banyak dana bagi membawa Melaka kembali ke Liga Perdana pada 2014.

Malah, MAFA juga mengorak langkah untuk mendapatkan Mat Zan Mat Aris sebagai jurulatih dan kesediaan beberapa pemain seperti Mohd. Munir Amran dan Farderin Kadir untuk kembali ke Melaka jika situasi di MAFA berubah.

MAFA Semakin Buka Mata MAFA Semakin Buka Mata Reviewed by Adslah Admin on 1:31:00 PM Rating: 5

Post AD