Header AD

Lelaki Cuba Curi Diesel Di Cekup


PERIKSA...Abdul Wahab (kanan) bersama penguat kuasa PDNKK melihat lori terbabit yang diubah suai.

PUTRAJAYA: Sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) cawangan Sepang menggagalkan penyelewengan 6,000 liter diesel bersubsidi selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori 10 tan di sebuah stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Cawangan PDNKK Sepang, Abdul Wahab Satar berkata, dalam operasi pemantauan pada jam 11 malam itu penguat kuasa mendapati diesel bersubsidi dimuatkan di dalam sebuah tangki besar yang diubah suai pada lori terbabit.

“Pemeriksaan itu dilakukan selepas penguat kuasa melihat dua lelaki dengan sebuah lori di stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi dalam keadaan mencurigakan. “Ketika itu, dua lelaki terbabit sudah mengisi diesel RM500 di stesen minyak berkenaan. Diesel dipam masuk dalam tangki, kemudian disedut menggunakan alat pengepam ke dalam tangki diubah suai. Tangki itu dipercayai boleh menampung sehingga 8,000 liter diesel,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam. Abdul Wahab berkata, lori dan diesel itu yang dianggarkan bernilai RM57,000 disita manakala dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1976 iaitu memiliki barangan kawalan (diesel bersubsidi) dengan tujuan melakukan kesalahan. Menurutnya, jika didapati bersalah suspek boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Tetapi, jika kesalahan kedua, dendanya sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mengulas modus operandi pihak terbabit, katanya, mereka bergerak dari satu stesen ke stesen minyak lain menggunakan lori diubah suai untuk membuat pembelian diesel dalam kuantiti banyak pada harga subsidi RM1.80 seliter.

“Diesel dikumpulkan sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM2 hingga RM2.50 seliter,” katanya. Sementara itu, katanya, sepanjang 11 bulan tahun ini pihaknya sudah menahan empat lori diubah suai atas kesalahan dan modus operandi sama dengan nilai rampasan berjumlah RM115, 000.

“Penyelewengan seperti ini memberi keuntungan lumayan kepada pihak terbabit dan satu kerugian besar kepada kerajaan,” katanya.

Sumber - Berita Harian Metro
Lelaki Cuba Curi Diesel Di Cekup Lelaki Cuba Curi Diesel Di Cekup Reviewed by Adslah Admin on 8:03:00 AM Rating: 5

Post AD