Header AD

Laksana Amanah Pupuk Integriti




Akhlak mulia permudah tunai tangggungjawab

Minggu lalu kita berkongsi mengenai iktibar pengorbanan yang boleh dikutip daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS, kefarduan haji serta kelebihan ibadat dalam bulan Zulhijah. Semuanya dijadikan sumber pembakar semangat dan alat penggerak dalam setiap tindakan. 
Namun, perlu juga diingatkan bahawa pengorbanan itu mestilah bertitik tolak daripada satu ciri akhlak yang unggul iaitu amanah, perkataan yang sangat mendalam maknanya, banyak manfaatnya kepada manusia serta tinggi keistimewaannya di sisi Islam. 

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa, ayat 58)

Ia meliputi sikap bertanggungjawab dalam melaksanakan apa yang diamanahkan untuk diri dan orang lain yang boleh menimbulkan kepercayaan serta keyakinan. Ia juga tidak terhenti amanah kepada manusia tetapi amanah kepada Pencipta.

Justeru, ia datang dalam pelbagai bentuk tuntutan yang terkandung dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa, ayat 58)

Teras dalam perkhidmatan

Sifat amanah sudah dikenal pasti sebagai nilai teras dalam perkhidmatan dan jaminan kepada pemupukan integriti iaitu melakukan pekerjaan dengan benar, jujur, mengikut spesifikasi, peraturan, piawaian, berkualiti dan profesional. 
Amanahnya Rasulullah SAW sehingga mendapat jolokan al-Amin termasuk dalam kalangan masyarakat kafir Quraisy perlu kita jadikan teladan dan tekad memperbaiki diri dalam pekerjaan.

Beberapa langkah mudah boleh diambil untuk membentuk sifat beramanah di tempat kerja. Pertama, letakkan niat yang baik dan tekad yang kuat setiap hari untuk melaksanakan amanah kerja. Kedua, senaraikan tugasan yang perlu disiapkan mengikut keutamaannya.

Nilai hasil tugasan

Ketiga, rancang dengan menyediakan jadual kerja yang munasabah dan tidak memudaratkan diri serta orang lain. 

Keempat, buat senarai semak untuk mengenal pasti tugasan yang sudah dan belum dilaksanakan.

Kelima, kenal pasti cara yang mudah dan berkesan untuk melaksanakannya. 

Keenam, laksanakan amanah mengikut keutamaan dengan ikhlas dan berhemah iaitu dengan mengambil kira keperluan, spesifikasi dan peraturan berkaitan.

Ketujuh, menilai hasil tugasan yang lalu untuk penambahbaikan cara bekerja. 

Kelapan, elakkan pecah amanah, penipuan, rasuah dan lain-lain perkara bertentangan syarak dan kesembilan, tingkatkan munajat kepada Allah SWT melalui solat, zikir dan berdoa dan akhirnya bertawakal.

Dalam merealisasikan kerja beramanah, kita juga perlu berhati-hati dengan keinginan untuk menambah beban tanggungjawab tanpa memikirkan keperluannya, kemampuan, keupayaan diri dan pekerja. 

Kegagalan atau kecuaian melaksanakannya dengan sengaja akan memudaratkan orang lain dan menjerumuskan diri kepada kemurkaan Allah SWT seperti gambaran yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj. 

Sekumpulan manusia yang terus menerus menambah bebanan di bahunya walaupun ia tidak berdaya untuk memikul bebanan itu. Bertolak daripada realiti inilah Rasulullah SAW menolak permintaan Abu Zar al-Ghifari, dengan sabdanya: “Wahai Abu Zar! Engkau sebenarnya lemah, jawatan itu adalah amanah, sesungguhnya ia membawa kepada kehinaan dan penyesalan pada Hari Kiamat, kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak kewajaran serta menunaikan hak atasnya.” (Riwayat Muslim)

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
Laksana Amanah Pupuk Integriti Laksana Amanah Pupuk Integriti Reviewed by Adslah Admin on 4:26:00 PM Rating: 5

Post AD