Header AD

Kemelut Ajaran Sesat


Penggunaan istilah Arab, pengaruhi golongan berjiwa kosong 

Isu ajaran sesat bukanlah satu perkara asing dalam kamus kehidupan umat Islam. Ini kerana ia datang seiring kehidupan manusia. 
Namun, masih ada ramai kalangan umat Islam yang begitu mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat itu. Lebih membimbangkan apabila melihat 125 kumpulan ajaran sesat yang bertapak di bumi Malaysia yang disenaraikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

Meninjau realiti umat Islam dewasa ini, sebahagiannya belum memahami dan terkeliru hakikat sebenar unsur kesesatan dalam sesuatu ajaran sehingga berlaku tuduh menuduh di kalangan umat Islam hingga ke tahap mempertikaikan akidah dan pegangan masing-masing. 

Tetapi, apa yang paling menyedihkan ialah pendukung ajaran sesat berjaya pula mempengaruhi masyarakat sekeliling untuk bersama-sama meneruskan kegiatan mereka. 

Lebih daripada itu, pendukung ajaran sesat sanggup menuduh dan melabelkan orang beriman yang tidak bersama mereka sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenarnya. 

Kemelut ajaran sesat ini boleh berlaku apabila kejahilan terhadap ajaran Islam sebenarnya masih lagi menunjangi ruang lingkup kehidupan umat Islam. 
Mereka jahil mengenai makna iman dan Islam sebenarnya yang menuntut kepatuhan penuh tulus lagi kudus semata-mata kepada Allah saja. Begitu juga mereka tidak arif mengenai batas iman dan Islam yang merapatkan mereka ke sempadan kesesatan dan kekufuran. 

Mereka tidak menyedari bahawa amalan khurafat dan ajaran sesat itu bertentangan dengan Islam dan seterusnya ia boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kancah kesesatan serta kekufuran yang dilaknati Allah. 

Justeru, setiap Muslim diwajibkan oleh Islam supaya menimba ilmu Islam daripada sumber yang tulen iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah. 

Dalam hal ini, terserlah peranan ulama sebagai pewaris Nabi dalam menyebarkan ilmu Islam di kalangan masyarakat Islam di samping menggalas tugas penegak kebenaran dan pencegah kemungkaran seperti diperintahkan Allah. 

Tambahan pula ketiadaan maklumat terperinci dan garis panduan khusus berkenaan tarekat atau ajaran yang menyeleweng daripada Islam menyebabkan umat Islam masih terkeliru dan salah faham terhadap konsep bertarekat menurut Islam yang sebenarnya. 

Oleh sebab itu, hampir semua ciri dan ajaran yang disebarkan oleh sesuatu ajaran sesat berselindung di sebalik penggunaan istilah Arab yang boleh mengelirukan pengikutnya seperti ajaran Hakikat Insan, ajaran Nur Zaman, Imam Mahdi, Tarekat Naqsyabandiah, ajaran Taslim, wahdah al-wujud, al-fana’, kasyaf, ilmu laduni dan sebagainya. Penggunaan istilah ini mudah meyakinkan orang yang tidak mempunyai pengetahuan secukupnya mengenai Islam. 

Berpunca daripada kejahilan inilah yang menyebabkan berlakunya kekosongan jiwa dalam diri seseorang manusia. 

Kekosongan jiwa bermaksud jiwa seseorang itu kosong daripada nilai kerohanian dan agama yang terdahulu. 

Ini mungkin adalah akibat daripada penolakan masyarakat terhadap agama disebabkan oleh perasaan kagum dengan pencapaian sains dan teknologi. 

Mereka meyakini sains boleh mencapai segala apa yang mereka ingini. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah kegagalan sains dan teknologi dalam memenuhi tuntutan kerohanian manusia. Oleh kerana itu, jiwa manusia kosong dan meluap-luap cuba mencari erti hidup, maka terjadilah apa yang dikatakan sebagai ledakan kerohanian. 

Apabila kekosongan jiwa berlaku, maka seseorang itu akan cuba mencari apa saja untuk memenuhi jiwanya melalui dua cara yang ekstrem sama ada kepada ajaran yang dianggapnya keagamaan, pada hal ia adalah ajaran sesat atau keseronokan dan kegembiraan seperti mengambil dadah, arak atau muzik yang bersifat kekerasan. 

Fitrah manusia yang mahu beragama dan ingin mencari kebenaran menyebabkan ramai yang mudah terjebak dengan ajaran sesat. 

Setiap ajaran sesat mempunyai ciri-ciri dan daya tarikan yang mampu menimbulkan minat dan menggoda serta sukar ditolak oleh mereka yang menjadi sasarannya. 

Salah satu faktor yang menjadi daya tarik pada ajaran sesat itu ialah ciri mudah dan ringan yang ada padanya. 

Kebanyakan ajaran sesat muncul di Malaysia secara umumnya mengajarkan bahawa amalan berat yang mesti dilakukan di dalam ajaran Islam yang sebenar tidak perlu dilakukan iaitu sudah cukup dengan berniat saja. Dengan demikian, ajaran sesat itu melepaskan pengikutnya daripada tanggungjawab agama seperti solat lima waktu, puasa, zakat dan haji. 

Kerahsiaan adalah antara ciri utama yang ada pada ajaran sesat. Dalam hal ini, apabila seorang pemimpin ajaran sesat berjaya menarik pengikut ke dalam ajarannya, maka pengikutnya itu akan diminta bersumpah setia tidak akan membocorkan rahsia ajaran dan kumpulannya kepada orang lain yang sekali gus. 

menyukarkan pihak berkuasa mengesan dan mencari bukti pergerakan mereka. 

Pada masa sama, kerajaan sewajarnya berganding bahu dengan ulama dalam menguatkuasakan undang-undang Islam bagi membanteras gejala ajaran sesat dan amalan khurafat ini. 

Setakat ini, hukuman yang dikenakan iaitu denda RM5,000, penjara tiga tahun dan enam kali sebat kepada pemimpin atau pengamal ajaran sesat kurang setimpal dengan kesalahan jenayah akidah yang amat serius. 

Justeru, hukuman lebih keras, di samping menggubal akta murtad amat perlu bagi membanteras gejala ajaran sesat yang semakin meruncing. Malah, enakmen antara negeri di Malaysia wajar diseragamkan bagi menghapuskan gejala ajaran sesat dari akar umbi lagi. 


Penulis ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA

Sumber - Berita Harian
Kemelut Ajaran Sesat Kemelut Ajaran Sesat Reviewed by Adslah Admin on 10:45:00 PM Rating: 5

Post AD