Header AD

JKM Serbu Pusat Perlindungan Wanita Tanpa Lesen

Sumber - Berita Harian

Berita hari ini - KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini menyerbu dua buah rumah teres yang dijadikan pusat perlindungan wanita di Setapak yang beroperasi tanpa lesen dan menyelamatkan 69 wanita. 

Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf berkata, dalam serbuan tiga jam bermula 10 pagi, pusat itu didapati menempatkan 69 wanita, berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat ditetapkan jabatan itu. 
Kejayaan itu adalah hasil maklumat orang awam, katanya. 

"Sepatutnya dua buah rumah itu mampu memuatkan maksimum 28 orang tapi penjaga pusat itu meletakkan 69 orang, mana selesa, sedangkan pihak keluarga juga membayar yuran kepada pusat itu sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang menjaga ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah sosial atau sedang mengandung," katanya kepada pemberita selepas serbuan ke pusat itu, di sini. 

Beliau berkata, pusat itu, yang beroperasi sejak 24 tahun lalu dengan peruntukan sendiri, kini disiasat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan 1993 kerana sehingga kini gagal didaftarkan. 

Katanya, 42 wanita di pusat itu sedang mengandung, 19 baru sahaja melahirkan anak dan tujuh menghadapi masalah sosial. 

"Kesemua wanita itu dibawa ke Asrama Bahagia, Kampung Pandan sebelum satu penempatan baru dicari untuk mereka," kata Noormah sambil menambah sebanyak 207 pusat jagaan persendirian di Kuala Lumpur beroperasi tanpa lesen. 
Sementara itu, seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 16, berkata kehidupan yang beliau impikan untuk berubah apabila memasuki pusat jagaan terbabit selepas terjebak dengan masalah sosial disifatkan "tidak seindah yang disangka". 

Beliau, yang sudah empat bulan memasuki pusat itu selepas melihat iklan mengenainya di laman sosial, mendapati perkhidmatan pusat itu tidak memuaskan. 

"Saya masuk ke tempat ini dengan niat ingin berubah, saya dulu tidak pandai membaca Al-Quran tetapi di sini tidak banyak saya belajar dalam ilmu agama dan sahsiah diri selain mereka mengenakan yuran pendaftaran yang membebankan," katanya. 

Bagi Effa, 19, pula tindakan beliau yang pernah melarikan diri akibat tidak tahan dengan kehidupan di pusat itu yang disifatkannya sebagai mimpi ngeri apabila beliau ditangkap dan dipukul warden pusat berkenaan. 

"Saya memang tidak sangka kehidupan di sini amat teruk, mereka mengenakan yuran tetapi tidak menyediakan keselesaan kepada kami, bayangkan ibu mengandung, ibu yang baru bersalin disuruh membuat kerja-kerja berat, jadi perkara inilah membuatkan kami ingin memberontak," katanya. 

Lebih pilu, sehingga kini beliau belum dapat melihat anak perempuannya yang dilahirkan pada September lalu hanya atas alasan beliau perlu mengikut perjanjian dipersetujui dengan pusat itu. - BERNAMA 
JKM Serbu Pusat Perlindungan Wanita Tanpa Lesen JKM Serbu Pusat Perlindungan Wanita Tanpa Lesen Reviewed by Adslah Admin on 10:25:00 PM Rating: 5

Post AD