Header AD

Janji lumayan


OPERASI...warga Bangladesh membuka tempat mencuci kereta di Kampung Wira Damai, Gombak.

KUALA LUMPUR: Kemakmuran di Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya warga asing apabila mereka dikesan mula monopoli beberapa perniagaan.

Maka tidak hairan apabila satu kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapati sekurang-kurangnya 30 perkampungan, taman perumahan, pasar dan lokasi perniagaan di Lembah Klang dikesan diduduki warga asing. Malah, tinjauan Harian Metro semalam mendapati warga asing tidak memilih perniagaan asalkan ia mendapat pulangan lumayan.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang ditemui enggan memberi kerjasama berikutan bimbang perniagaan terjejas.

Pemilik perniagaan cuci kereta yang hanya dikenali sebagai Asadul mendakwa, perniagaan bersama lima rakan dari Bangladesh itu dijalankan selepas pemiliknya wanita tempatan enggan meneruskan perniagaan berikutan mengalami kerugian.

“Saya bekerja dengan dia 10 tahun. Bila dia nak tutup, saya dan rakan ambil alih, tetapi masih menggunakan lesen perniagaannya.

“Perniagaan ini masih untung, cuma tidak banyak kerana lokasi tidak strategik,” katanya ketika ditemui di Kampung Wira Damai, Gombak, dekat sini, semalam.

Hasil kajian Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi UIAM, Prof Dr Fatimah Daud mengenai penempatan dan taburan pendatang warga asing sejak lebih 10 tahun lalu mendapati jumlah warga asing di sesuatu kawasan meningkat mendadak kerana wujud peluang pekerjaan dan perniagaan.

Antara faktor mendorong warga asing gemarkan sesuatu kawasan untuk dijadikan tempat tinggal atau memulakan perniagaan kerana ada saudara-mara dan rakan mereka di kawasan terbabit. Peniaga telefon bimbit di Chow Kit warga Indonesia yang mahu dikenali sebagai Putik berkata, walaupun kadar sewa RM1,500 untuk satu lot kedai yang dikongsi bersama lima peniaga lain agak tinggi, tetapi ia tidak mendatangkan masalah kerana masih mendapat keuntungan.

“Warga tempatan kurang minat dalam perniagaan ini kerana keuntungannya tidak berlipat kali ganda.

“Walaupun keuntungan tidak seberapa, tetapi bila ia diuruskan dengan bijak, keuntungan tetap ada,” katanya yang turut mendakwa memperoleh RM2,000 hingga RM3,500 sebulan.

Peruncit dari Acheh, Indonesia Achmad Bachtiar, 49, berkata, kemakmuran di Malaysia dimanfaatkan sepenuhnya warga asing.

“Modal tidak menjadi masalah kerana kami bantu membantu antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di Damansara Pelangi.
Janji lumayan Janji lumayan Reviewed by Adslah Admin on 2:20:00 PM Rating: 5

Post AD