Header AD

Jambak Bunga Tanda Ingatan - Sardinia, Itali


TERSUSUN...kapal di kawasan marine.

SEBUT saja Sardinia, Itali, terlintas di minda kereta Lotus Esprit putih yang berkeupayaan menyelam ke dasar laut melalui filem James Bond, The Spy Who Loved Me. Melalui filem diterbitkan pada 1977 itu, penonton turut teruja dengan peralatan canggih digunakan ejen perisik Britain berkenaan, selain memaparkan keunikan tempat penggambaran di pulau kedua terbesar di Laut Mediterranean.

Selepas lebih 30 tahun, atas jemputan Volkswagen Malaysia, penulis berpeluang menjejak kaki di pulau dengan populasi melebihi 1.6 juta itu.

Jemputan itu memberi peluang kepada kalangan media antarabangsa untuk memandu uji model terbaru menerusi generasi ketujuh, Volkswagen Golf.

Walaupun kurang 24 jam berada di pulau itu, ia dianggap paling berharga buat penulis selepas menempuh perjalanan melebihi 16 jam berikutan pertukaran penerbangan antara Kuala Lumpur, Doha dan Munich, Jerman sebelum tiba di Lapangan Terbang Olbio, Sardinia.

Penat dalam pesawat bagai tidak wujud dalam minda penulis, sebaliknya bertambah bertenaga dan kembali segar sebaik tiba di pulau berkenaan.

Suhu kurang 20 darjah Celsius menjelang tengah hari seolah-olah membuatkan penulis berada pada waktu malam di Genting Highlands, Pahang.

Baju sedikit tebal sudah cukup untuk menutupi badan penulis sambil mengelilingi separuh pulau berkenaan dengan memandu uji Volkswagen Golf.

Pandu uji hampir lima jam itu memberi sedikit gambaran buat penulis berhubung struktur muka bumi di pulau berkenaan.

Untuk sesi pandu uji ini, kami hanya diberi laluan menggunakan sistem navigasi untuk perjalanan 30 kilometer dari lapangan terbang hingga ke hotel di Porto Torres. Sepanjang memandu, penulis sangat teruja dengan ‘ketenangan’ lalu lintasnya yang tidak sibuk.

Kapal layar tersusun sepanjang pelabuhan dalam perjalanan itu ternyata kelihatan sangat menarik.

Laluannya yang sedikit berselekoh sambil menikmati pemandangan yang dipenuhi pokok renek di sekitar pulau berkenaan membuatkan penulis teruja.

Bagaimanapun, penulis sedikit tertanya-tanya apabila melihat sejambak bunga yang terletak di bahu jalan.

Rakan penulis yang mengikuti sesi pandu uji memberitahu, bunga itu menjadi lambang peringatan kepada mereka yang terbunuh akibat kemalangan di kawasan berkenaan.

Pada sesi pandu uji di sebelah petang pula, penulis berhenti seketika di puncak bukit untuk menikmati pemandangan yang semakin jelas untuk melihat kawasan pulau berkenaan tanpa pencemaran udara akibat asap kenderaan atau perindustrian.

Di puncak bukit itu, kelihatan kehijauan pokok yang mengelilingi pulau berkenaan, selain kebiruan laut tampak jelas kerana tidak sedikit pun tercemar.

Paling menyeronokkan apabila penulis bersama rakan media lain sempat singgah di kawasan lereng bukit, di mana ia menjadi tempat satu daripada adegan penggambaran filem The Spy Who Loved Me.

Ia membabitkan kenderaan Lotus Esprit yang berpusing-pusing di kawasan berkenaan ketika dikejar dengan helikopter.

Keindahan pulau ini turut diselitkan dengan reka bentuk rumahnya yang masih mengikuti seni bina lama.

Ini berikutan rumah yang menggunakan material batu selain diwarnai putih dan krim menjadi pilihan masyarakat tempatan.

Sesi taklimat bersama jurutera Volkswagen Golf jam 6 petang, penulis bersama rakan media sempat bersantai di tepi pantai sebelum makan malam. Pantainya yang dipenuhi pasir putih selain air jernih membuatnya kelihatan sangat bersih.

Suhu yang semakin sejuk selepas matahari terbenam memberi pengalaman unik berbanding negara Khatulistiwa.

Bagi mereka yang mahu melancong di pulau ini, makanan laut mungkin menjadi pilihan rasmi sama ada dibakar atau sebaliknya.

Jika tidak gemar makanan laut, pasta atau pizza mungkin mencari sajian lain untuk mengalas perut selain menikmati buah-buahan tropika atau Mediterranean. 
Cuma untuk mencari cenderahati, elakkan membeli di Lapangan Terbang Olbio kerana tidak banyak pilihan di sana.



 BERBUKIT...pemandangan di sekitar Sardinia.

 INDAH...tumbuhan menghijau dikelilingi lautan biru.

 SEGAR...pemandangan pada waktu pagi.

 MENARIK...pelancong berhenti di tempat penggambaran filem The Spy Who Loved Me.

MENARIK...struktur muka bumi berbatu dan berbukit.

TERUJA...pantai di Porto Torres.

Jambak Bunga Tanda Ingatan - Sardinia, Itali Jambak Bunga Tanda Ingatan - Sardinia, Itali Reviewed by Adslah Admin on 7:37:00 PM Rating: 5

Post AD