Header AD

Golf Amatur Terbuka Melaka 16-18 November

Rom Muslim (tengah) bersama Ahli Jawatankuasa 
Kejohanan Golf Amatur Melaka Kali Ke-46 pada
 sidang akhbar di Melaka, kelmarin.

MELAKA - Pemain golf amatur negara dijangka mendapat tentangan sengit daripada pemain dari Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Filipina yang akan menyertai Kejohanan Golf Amatur Terbuka Melaka Kali ke-46 di Kelab Golf Ayer Keroh & Country (AKCC) Melaka dari 16 hingga 18 November ini.

Pengarah Kejohanan, Rom Muslim berkata, kejohanan tiga hari itu amat penting kepada pemain amatur yang mengambil bahagian kerana ia adalah peluang terbaik untuk memperbaiki kedudukan ranking amatur dunia.

Menurutnya, Kejohanan Golf Amatur Terbuka Melaka itu yang diiktiraf Persatuan Golf Malaysia (MGA) membolehkan pemain untuk mengutip mata bagi memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.

"Dengan kehadiran pemain amatur terbaik dari beberapa negara yang sudah mengesahkan penyertaan, saya yakin saingan sengit dan mendebarkan dijangka berlaku sepanjang kejohanan ini berlangsung.

"Lebih penting juga, pemain yang mengambil bahagian boleh memperbaiki kedudukan ranking amatur dunia untuk mengutip mata berharga jika menjuarai kejohanan kali ke-46 ini," ujarnya pada sidang akhbar di AKCC di sini semalam.

Seramai 90 pemain lelaki dengan handikap dari 0 hingga 12 akan bersaing termasuk 30 pemain wanita sehingga handikap 24 mengharungi cabaran sengit lapangan AKCC yang diilhamkan rekabentuknya oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba.

Tahun lalu, kejohanan ini dimenangi Nicklaus Chiam dari Singapura selepas menewaskan pemain amatur negara, Jeremiah Kim menerusi penentuan play-off lubang kedua.

Rom berkata, beberapa pemain pelapis negara termasuk dari MGA dan Akademi Golf Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mengambil bahagian.

Beliau menambah peserta dijangka berdepan tugas mencabar mengharungi kesukaran bermain di Tunku Nine sepanjang 3,398 meter dan Ghafar Nine dengan panjang 3,290 meter.

Lebih menarik katanya, lubang 18 di Tunku Nine iaitu Par 5 dengan panjang 604 meter dari tee box hitam akan mencabar fizikal dan mental pemain.

Berita Utusan Online
Golf Amatur Terbuka Melaka 16-18 November Golf Amatur Terbuka Melaka 16-18 November Reviewed by Adslah Admin on 1:34:00 PM Rating: 5

Post AD