Header AD

Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Lupus Keterangan Berhubung Mayat Bayi

KANGAR: Dua lelaki dihadapkan ke mahkamah majistret di sini hari ini atas tuduhan melupuskan keterangan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi perempuan di sebatang tali air di Kampung Bohor Rotan Pahit, dekat sini bulan lalu. 

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 18 tahun, Khairil Amri Che Ani dari Kampung Padang Benta dan Mohamad Affendi Azmi dari Kampung Bukit Papan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Zuhair Rosli. 
Pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda. 

Mereka dituduh secara bersama melakukan kesalahan itu di atas titi simen, Kampung Bohor Rotan Pahit pada 24 Oktober 2012 jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam bagi melupuskan keterangan kesalahan itu yang bertujuan mengelak hukuman undang-undang terhadap seorang remaja perempuan. 

Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwaan Perlis Azhar Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili Zuhair Ahmad Zakuan. 

Azhar memohon supaya kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin RM3,000 setiap seorang berserta penjamin namun majistret Zuhair Rosli membenarkan permohonan peguam kedua-dua tertuduh dengan mengarahkan mereka masing-masing dikenakan ikat jamin RM1,500 bersama seorang penjamin. 

Zuhair menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu. 
Pada 24 Oktober lalu, mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui di sebatang tali air di Kampung Bohor Rotan Pahit selepas polis menerima laporan Hospital Tuanku Fauziah mengenai seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dirujuk ke hospital akibat pendarahan. - BERNAMA 

Sumber - Berita harian
Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Lupus Keterangan Berhubung Mayat Bayi Dua Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Lupus Keterangan Berhubung Mayat Bayi Reviewed by Adslah Admin on 12:20:00 AM Rating: 5

Post AD