Header AD

Berita! Abang Menangis Minta Diselamatkan

Sumber - Berita Metro

KUALA LUMPUR: “Saya menerima panggilan telefon daripada abang minta saya selamatkan dia dalam keadaan menangis dan ketakutan.

“Selepas itu, panggilannya terputus. Saya cuba menghubunginya semula sebanyak enam kali, namun gagal menyebabkan saya tidak sedap hati,” kata Mohd Kharul Izwan Mat Yaakob, 26, ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, semalam.

Abangnya, Mohd Nor Mat Yaakob, 32, ditemui rentung selepas bengkel motosikal milik majikannya di Jalan Bangsar, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.

Kharul berkata, beliau menerima panggilan daripada abangnya jam 2.30 pagi ketika itu beliau sedang tidur di rumahnya di ibu kota.

“Abang minta saya datang ke bengkel motosikal tempatnya bekerja dan selamatkan dia. Katanya bengkel itu sedang terbakar dan dia berasa takut.

“Tiba-tiba panggilan terputus dan usaha saya menghubunginya semula gagal,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, bomba sedang memadamkan kebakaran sebelum dimaklumkan satu mayat lelaki ditemui rentung di tingkat dua bangunan berkenaan.

Beliau yang bekerja sebagai juruteknik berkata, beliau yakin itu adalah abangnya.

Kharul berkata, abangnya yang juga orang kelainan upaya (OKU) di kaki kirinya akibat kemalangan 10 tahun lalu baru sebulan bekerja sebagai mekanik di bengkel berkenaan.

“Abang baru saja berpindah ke bilik tingkat atas bengkel berkenaan. Saya reda dengan apa yang berlaku. Arwah abang anak ketujuh daripada lapan beradik.

Mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian di kampung halaman mereka di Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.30 pagi dan tiga jentera ke lokasi membantu memadamkan kebakaran.

“Usaha memadamkan kebakaran membabitkan 23 pegawai dan anggota. Api dapat dikawal jam 3.02 pagi,” katanya.
Berita! Abang Menangis Minta Diselamatkan Berita! Abang Menangis Minta Diselamatkan Reviewed by Adslah Admin on 11:13:00 AM Rating: 5

Post AD