Header AD

ATC Komersialkan Jualan Magic W3

Magic W3 adalah komputer mikro 4.8 inci bersepadu berasaskan Windows 7 keluaran Malaysia.

Advance Tech Communications Sdn Bhd (ATC), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Top ATC Sdn Bhd akan mula mengeluarkan secara komersial komputer mikro 4.8 inci bersepadu berasaskan Windows 7, Magic W3 tahun depan.

Ketua Eksekutif ATC, Loi Cheng Pheng, berkata penghantaran pertama komputer mikro mudah alih keluaran Malaysia itu ialah sebanyak 500 unit kepada pengedar yang akan menjualnya di Amerika Syarikat (AS), Hong Kong, China dan Eropah dengan pengeluarannya rangkaian Magic akan ditingkatkan kepada lebih sejuta unit tahun depan.
Beliau berkata, Magic W3 adalah komputer mikro bersepadu berasaskan Windows 7 yang menggabungkan fungsi telefoni dan disokong aplikasi multimedia, selain memiliki keupayaan pemanduan arah dan internet.

Inovasi rakyat tempatan 

“Mikro komputer dengan teknologi skrin sesentuh Magic W3 adalah inovasi rakyat tempatan. Selain pemegang tanda perniagaan jenama Magic, ATC juga membangun dan mempatenkan teknologi Magic W3.

“Ia adalah komputer riba yang boleh dimasukkan dalam poket dengan fungsi telefon,” katanya pada sidang media mengumumkan pengkomersialan produk itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Noharuddin Nordin dan Pengarah Eksekutif Kilang Top IT Industries Sdn Bhd (Top IT), Mohd Isa Nik.
Cheng Pheng berkata, Magic W3 akan dikeluarkan di kilang Top IT di Kuala Terengganu.

Mohd Isa berkata, Top IT adalah syarikat Bumiputera yang terbabit dalam program pendidikan di Terengganu, khususnya projek e-Book untuk sekolah rendah di negeri itu.

Sumber - Berita harian
ATC Komersialkan Jualan Magic W3 ATC Komersialkan Jualan Magic W3 Reviewed by Adslah Admin on 10:07:00 AM Rating: 5

Post AD