Header AD

Angkara ‘Botak’ Kalah Main Snuker

Sumber - Berita Metro

KUALA LUMPUR: Angkara dendam dan hutang dipercayai menjadi punca anak bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Kelantan, Datuk Wan Mohd Najib Wan Mohamad cedera parah ditetak dengan parang di sebuah restoran di Seksyen 6 Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Mangsa, Wan Mohd Faizal Wan Mohd Najib, 24, yang bekerja di syarikat menjual kenderaan mewah milik keluarganya di Cheras, kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri, Ampang, dekat sini, selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepalanya.

Wan Mohd Najib berkata, beliau percaya kejadian itu berpunca akibat dendam dan masalah hutang antara mangsa dan rakan baiknya yang dikatakan tidak puas hati selepas anaknya itu menuntut hutang lama.

“Anak saya pernah bercerita mengenai seorang rakan baiknya yang diberi gelaran ‘Botak’ ada berhutang dengannya sebanyak RM1,500 sejak beberapa tahun lalu.

“Namun, lelaki itu tidak pernah membayar hutang berkenaan. Saya pun mengenali lelaki itu kerana sering datang ke rumah kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, beliau difahamkan sebelum kejadian anak lelakinya dan rakannya itu ada pergi bermain snuker bersama serta membuat pertaruhan dalam permainan berkenaan.

“Rakan anak saya itu dikatakan kalah menyebabkannya menjadi marah. Lelaki terbabit dipercayai mengupah empat lelaki lain untuk menetak anak saya,” katanya.

Wan Mohd Najib berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu pagi kelmarin sebelum isterinya bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Kelantan.

Namun, anak lelakinya itu kemudian dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri akibat kecederaan parah dialaminya untuk menjalankan pembedahan dan kini dilaporkan stabil.

Wan Mohd Faizal selamat menjalani pembedahan kira-kira jam 11 malam kelmarin bagi membuang darah beku dalam kepala dan dimasukkan ke ICU untuk rawatan rapi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, pihaknya kini sedang giat memburu lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
Angkara ‘Botak’ Kalah Main Snuker Angkara ‘Botak’ Kalah Main Snuker Reviewed by Adslah Admin on 1:22:00 PM Rating: 5

Post AD