Header AD

Ajaran Sesat Manusia Sakit

Biasanya, pengasas sesuatu agama yang baharu bukanlah mereka yang terdidik dalam bidang agama, tetapi hanya menggunakan kefahaman agama sesuai dengan apa yang mereka hajati.


ATAS: SEBUAH premis di Sri Gombak, Kuala Lumpur diserbu oleh 
pihak berkuasa kerana disyaki menyebarkan ajaran sesat pada 15 Disember 2010.


SELAMAT Hari Raya Aidilfitri untuk semua pembaca. Semoga Ramadan yang baru kita lalui akan meningkatkan lagi keimanan kita kepada agama dan mampu menjadi benteng kepada kita semua dalam menghadapi kehidupan beragama yang semakin mencabar.

Tatkala seluruh umat Islam sedang bersiap sedia untuk menyambut Ramadan, kita dikejutkan apabila ada lagi manusia yang sanggup melakukan sesuatu yang di luar logik pemikiran manusia.

Seorang lelaki yang membawa dua bilah pedang samurai yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahadi telah menceroboh dan mengamuk di sebuah agensi kerajaan. Ia tentulah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama itu sendiri.

Tidak lama selepas itu, kita dikejutkan pula dengan berita seorang bekas kapten kapal yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di Melaka kerana mendakwa dirinya sebagai nabi akhir zaman.

Luar logik

Semua ini merupakan berita yang pelik. Masih ada lagi manusia yang berbuat sesuatu yang sangat janggal di luar logik pemikiran manusia. Sejarah telah merekodkan begitu banyak kejanggalan manusia yang menggunakan agama untuk mencari pengaruh.

Biasanya, pengasas kefahaman agama yang baharu ini bukanlah mereka yang terdidik dalam bidang agama, tetapi hanya menggunakan kefahaman agama sesuai dengan apa yang mereka hajati. Dua orang yang sangat terkenal dalam hal ini ialah Jim Jones dan Shoko Asahara.

LELAKI ini didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka 
kerana mendakwa dirinya sebagai nabi akhir zaman.


Penghujung 1970-an, seramai 913 pengikut The People Temple yang diketuai oleh Jim Jones telah mati membunuh diri kerana meminum wain yang diletakkan racun.

Jones telah menubuhkan aliran agamanya itu di San Francisco, tetapi kemudiannya mengasingkan diri ke sebuah hutan di Guyana. Walaupun berpindah ke Guyana, ratusan pengikutnya di San Francisco sanggup mengikutnya.

Mereka memilih membunuh diri sendiri setelah rundingan dengan wakil kerajaan Amerika yang mahu mengajak pengikutnya pulang ke pangkal jalan menemui jalan buntu, malah wakil kerajaan itu juga telah dibunuh.

Ilusi syurga Jones sangat menakutkan. Dia memanipulasi manusia lain. Dia menjanjikan syurga, tetapi kehidupan beragamanya seolah-olah di neraka.

Tidak hanya di AS, di Jepun sekitar pertengahan tahun 1990-an ada juga kejadian yang serupa. Shoko Asahara, seorang lelaki yang buta sebelah mata dan hanya mempunyai penglihatan kabur di sebelah mata yang lagi satu, telah menubuhkan agama baharu yang mampu menarik ribuan pengikut.

Klimaks kepada kepercayaannya ialah mendapatkan syurga dengan membunuh orang awam yang menurutnya sebagai tidak adil. Dia telah mengarahkan pengikutnya melepaskan gas sarin yang beracun di sebuah stesen kereta api bawah tanah di Tokyo hingga menyebabkan 13 terbunuh dan ratusan lain cedera.

Konsep ketidakadilan itu muncul berasas daripada pemahaman Asahara yang melihat dirinya sebagai cacat penglihatan sedangkan orang lain tidak.


Kisah kedua-dua manusia itu mengingatkan kita akan apa yang sedang kita lalui di negara kita juga. Munculnya Kerajaan Langit yang dilambangkan oleh monumen yang dibangunkan sendiri, membuatkan kita terfikir, mengapa mudah sangat manusia kita mempercayai ketua agama baharu ini?

Ada pula yang percaya dengan rasul baharu yang kononnya berketurunan Melayu yang kononnya boleh menjanjikan syurga kepada pengikutnya.

Tunaikan permintaan

Sebenarnya, berdasarkan temu bual dengan pengikut Jones, seorang ahli psikologi menemui bahawa mereka terpesona dengan kehebatan Jones, yang dianggap sebagai 'Tuhan'.

Bukan 'Tuhan' dalam konteks sebenarnya, tetapi tuhan yang mampu menunaikan permintaan mereka. Asahara pula memberitahu pengikutnya bahawa beliau ialah wakil Tuhan yang paling dekat di muka bumi ini.

Mereka (pemimpin agama sesat) kononnya ada kelebihan mengubat manusia yang sakit atau kelebihan mistik yang lain.

Ramai ketua ajaran sesat di negara kita juga nampaknya mengakui memiliki kelebihan mengubat dan mistik. Ramai yang terpedaya dengan mereka kerana 'personaliti' unik yang mereka miliki dan bukan kerana ajarannya.

Sebab itu, masyarakat mestilah berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan banyak kefahaman baharu itu. Mereka bukanlah manusia yang hebat, sebaliknya secara psikologinya ialah manusia sakit. Sangat malang, kalau masih ada yang terpengaruh dengan mereka.


Ajaran Sesat Manusia Sakit Ajaran Sesat Manusia Sakit Reviewed by Adslah Admin on 8:42:00 PM Rating: 5

Post AD