Header AD

Bekalan Air Percuma


- Bekalan Air Percuma 20m3 : 92% Pangsapuri Kos Rendah Terima Air Percuma - 



SHAH ALAM 21 SEPT : Sejak program pemberian air percuma dilancarkan pada Jun 2008, sehingga kini lebih satu juta penduduk yang menggunakan meter individu menikmati air percuma termasuk penghuni pangsapuri kos rendah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, usaha memastikan pemberian air percuma dapat dinikmati penghuni pangsapuri kos rendah dilakukan sejak Jun 2010 lagi dan akan di teruskan selagi Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

“Usaha tersebut dilakukan kerana kita tidak mahu rakyat miskin di rumah bertingkat kos rendah menjadi mangsa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu.

“Antara lain kita mewujudkan Skim Safwa (Skim Rebet Air Percuma) untuk membolehkan penghuni pangsapuri kos rendah mendapat manfaat air percuma,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Rekabentuk Rumah Mampu Milik Selangor 2012 di sini petang tadi.

Sejak skim tersebut dilancarkan pada Julai 2010, sehingga Julai 2012 lebih RM 6 juta dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah.

Rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga melaporkan sebanyak 92 peratus atau 214 kawasan melibatkan 58, 049 unit pangsapuri kos rendah menerima air percuma menerusi Skim Safwa.

Manakala baki 18 kawasan atau 6, 666 unit lagi gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja.

Katanya lagi, Skim Safwa turut ditambah baik menerusi ‘Lapor dan Dapat’ di mana setiap pangsapuri yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus kepada Syabas.

Bagi penghuni pangsapuri bukan kos rendah pula, mereka perlu memohon daripada Syabas untuk proses migrasi meter pukal kepada meter individu.

“Kerajaan Negeri turut menubuhkan pasukan khas bagi membantu proses migrasi ini bagi para penghuni pangsapuri bukan kos rendah untuk membantu melancarkan dan mempercepatkan proses tersebut,” ujarnya.

Mengulas saman terbaru yang dikemukakan terhadap Kerajaan Negeri berkenaan isu pemberian air percuma, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri menghormati hak rakyat Selangor untuk mendapatkan tindakan undang-undang.

“Kita akan kaji perkara ini tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai program air percuma ini,” ujar beliau.
Bekalan Air Percuma Bekalan Air Percuma Reviewed by Adslah Admin on 10:11:00 PM Rating: 5

Post AD